Sultan rasmi Masjid Prima Saujana, agih sumbangan raya kepada 528 penerima

28 Feb 2026, 1:29 PM
Sultan rasmi Masjid Prima Saujana, agih sumbangan raya kepada 528 penerima
Sultan rasmi Masjid Prima Saujana, agih sumbangan raya kepada 528 penerima
Sultan rasmi Masjid Prima Saujana, agih sumbangan raya kepada 528 penerima
Sultan rasmi Masjid Prima Saujana, agih sumbangan raya kepada 528 penerima

HULU LANGAT, 28 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan Masjid Prima Saujana, Kajang sempena program Ihya’ Ramadan bersama rakyat, hari ini.

Baginda diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

Masjid yang didirikan di tanah seluas 1.5 ekar itu menelan kos RM14.5 juta hasil sumbangan awam dan korporat bagi menyediakan kemudahan ibadah yang selesa serta kondusif kepada komuniti Islam setempat.

Pembinaannya bermula pada Februari 2018 sebelum dibuka secara rasmi 28 Mac 2024, dengan reka bentuk moden dilengkapi ruang solat utama yang luas, kemudahan wuduk yang selesa, ruang parkir mencukupi serta kemudahan mesra jemaah termasuk golongan warga emas dan orang kurang upaya.

Masjid berkenaan mampu menampung sehingga 2,800 jemaah pada satu masa, sekali gus berperanan sebagai pusat ibadah dan aktiviti keagamaan masyarakat setempat.

Dalam majlis sama, Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada 528 individu terdiri daripada 222 fakir, 204 miskin serta 102 mualaf dengan jumlah keseluruhan RM264,000.

Sumbangan berkenaan mencerminkan keprihatinan Institusi Diraja dan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan golongan memerlukan terus terbela, khususnya sepanjang Ramadan.

Sultan Sharafuddin kemudian berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib, Isyak serta Tarawih bersama rakyat.

Turut hadir Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah serta Mufti Selangor, Dato’ Setia Dr Anhar Opir.

Masjid Prima Saujana Kajang, Hulu Langat pada 28 Februari 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIASELANGOR