SHAH ALAM, 28 FEB: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) memberi amaran keras kepada peniaga bazar Ramadan yang didapati membuang sisa makanan dan minuman ke dalam longkang awam selepas tamat waktu perniagaan.
Dalam kenyataan, MPHS menegaskan tindakan tidak bertanggungjawab itu mencemarkan persekitaran selain menjejaskan imej bazar Ramadan sebagai lokasi tumpuan masyarakat sepanjang bulan Ramadan.
“Longkang yang tersumbat dengan sisa makanan dan plastik boleh menyebabkan bau busuk, mengundang tikus serta lalat, malah berisiko menjejaskan kesihatan awam,” menurut kenyataan itu.
MPHS menegaskan kebersihan tapak perniagaan adalah tanggungjawab peniaga dan sikap sambil lewa tidak akan dikompromi.
Pihak berkuasa tempatan itu turut memberi amaran tindakan tegas termasuk kompaun dan penguatkuasaan akan dikenakan terhadap peniaga yang ingkar mematuhi peraturan kebersihan.
“Semua peniaga diminta memastikan kawasan perniagaan kekal bersih, teratur dan selamat demi menjaga imej komuniti,” katanya.











