KUALA LUMPUR, 22 FEB: Ramadan mengubah rutin harian umat Islam termasuk waktu makan dan tidur, dengan ramai berdepan dilema selepas bersahur sama ada teruskan dengan rutin harian ataupun sambung tidur kerana masih berasa mengantuk.
Menurut pakar kesihatan, rasa mengantuk selepas sahur bukan sesuatu yang luar biasa kerana keadaan itu berkait rapat dengan perubahan jam biologi seseorang akibat perlu bangun awal untuk bersahur, terutama pada awal Ramadan, sebelum tubuh menyesuaikan semula diri dengan rutin baharu tersebut selepas beberapa hari.
Pensyarah dan Pakar Perunding Respiratori Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi MARA Puncak Alam Dr Aisya Natasya Musa berkata tidur selepas sahur tidak semestinya perlu dielakkan sepenuhnya, sebaliknya bergantung pada cara, tempoh dan keadaan tidur seseorang.

“Masalah utama bukan tidur itu sendiri, tetapi terus baring dan tidur lama sejurus selepas makan, khususnya dalam posisi terlentang. Keadaan ini boleh mengganggu pencernaan dan pernafasan, sama seperti baring terus selepas makan berat pada waktu lain,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Dr Aisya berkata tidur yang terlalu lama selepas bersahur boleh menyebabkan seseorang memasuki fasa tidur dalam dan tidur gerak mata cepat atau rapid eye movement (REM), sekali gus menyukarkan proses bangun, rasa lebih lesu serta menjejaskan keselesaan tubuh.
Beliau berkata dari sudut fisiologi, sistem pencernaan menjadi lebih aktif selepas makan dengan peningkatan asid perut untuk mencerna makanan, dan jika seseorang terus baring serta tidur, asid perut lebih mudah naik ke saluran pemakanan dan menjejaskan kualiti tidur.
Selain tempoh tidur, Dr Aisya menjelaskan jenis makanan turut mempengaruhi tahap mengantuk selepas sahur apabila makanan yang terlalu berat dan berlemak menyebabkan aliran darah lebih tertumpu pada sistem pencernaan sehingga mencetuskan rasa mengantuk.
“Makanan tinggi gula ringkas atau karbohidrat halus seperti kuih manis dan minuman manis pula boleh menyebabkan kenaikan gula darah secara mendadak sebelum menurun dengan cepat, sekali gus meningkatkan rasa mengantuk selepas sahur,” jelasnya.
Dr Aisya menasihatkan jika benar-benar mengantuk, seseorang perlu menunggu sekurang-kurangnya 30 minit sebelum tidur dan memastikan rehat yang diambil adalah singkat, bukannya tidur lena berjam-jam.
Beliau turut menyarankan posisi tidur mengiring ke kiri atau dalam keadaan separa duduk (kepala ditinggikan) bagi mengurangkan risiko asid perut naik ke saluran pemakanan, selain mengingatkan golongan tertentu seperti individu obes, pesakit refluks (GERD) dan mereka yang mempunyai gangguan pernafasan ketika tidur agar lebih berhati-hati.
“Antara kesilapan paling kerap dilakukan ialah terus baring dan tidur lama sejurus selepas sahur tanpa memberi masa kepada badan untuk mencerna makanan serta tanpa menjaga posisi tidur yang sesuai.
“Nasihat saya, jika mengantuk, berehatlah secara bijak dan elakkan terus baring lama selepas makan, selain memilih posisi yang betul serta memastikan waktu tidur malam yang mencukupi,” kata Dr Aisya.


