Nahas helikopter FDS: Polis sahkan identiti semua lima mangsa terkorban

9 Sep 2026, 11:53 AM
Nahas helikopter FDS: Polis sahkan identiti semua lima mangsa terkorban

MIRI, 9 SEPT: Polis mengesahkan identiti semua lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas di Long Lellang, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata identiti kelima-lima mangsa dikenal pasti melalui pengecaman barangan peribadi yang berada pada jasad mangsa, cebisan pakaian serta kedudukan tempat duduk di dalam helikopter.

Beliau berkata mayat telah dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat serta proses pengecaman.

“Kesemua mereka dalam keadaan rentung kerana apabila helikopter terhempas, ia terus terbakar.

“Tidak ada satu mangsa yang kita jumpai dalam keadaan sempurna. Pengecaman secara rasmi akan dibuat di hospital dan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) keluarga telah diambil,” katanya pada sidang media mengenai insiden berkenaan di Lapangan Terbang Miri, hari ini.

Mangsa yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.

Kesemua keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai perkembangan terkini tragedi itu.

Semalam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport).

Menurut CAAM, pihaknya menerima maklumat tentang kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada 3.58 petang dan helikopter tersebut sedang menjalankan operasi penerbangan FDS.

Mohamad Zainal berkata siasatan awal mendapati beberapa saksi telah melihat kepulan asap dan api pada helikopter berkenaan sebelum ia terhempas.

Beliau berkata penduduk kampung turut membantu memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api yang terdapat di lapangan terbang berkenaan, namun mangsa dipercayai tidak sempat menyelamatkan diri.

“Daripada kedudukan helikopter, saya percaya mungkin juruterbang berusaha untuk mendaratkannya dengan selamat kerana ia berada betul-betul di hujung landasan. Mungkin apabila mendarat, ia terus terbakar dan mereka tidak sempat menyelamatkan diri,” katanya.

Beliau berkata helikopter berkenaan tidak dilengkapi perakam suara kokpit atau kotak hitam, dan setakat ini polis juga tidak memperoleh maklumat mengenai sebarang panggilan kecemasan daripada juruterbang sebelum nahas.

Mohamad Zainal berkata helikopter buatan 1991 itu kali terakhir menjalani penyelenggaraan pada 24 Ogos lepas, dan dibenarkan beroperasi selama 100 jam penerbangan selepas penyelenggaraan berkenaan.

Polis membuka laporan mati mengejut (SDR), manakala siasatan bagi menentukan punca sebenar nahas dikendalikan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB).

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.