HULU SELANGOR, 26 FEB: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Sungai Tengi di sini, hari ini.
DYMM Tengku Amir Shah turut berkenan menyampaikan sumbangan raya berjumlah RM262,500 kepada 525 penerima, meliputi 99 asnaf fakir, 355 asnaf miskin dan 71 mualaf dengan masing-masing menerima sumbangan RM500.
Selepas santapan berbuka, baginda menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih berjemaah bersama penduduk.

Terdahulu, keberangkatan baginda diiringi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah.
Majlis turut dihadiri Mufti Selangor, Dato’ Setia Dr. Anhar Opir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Dato’ Setia Salehuddin Saidin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.
Masjid Jamek Sungai Tengi dibina berkonsep moden dalam taman dan siap sepenuhnya pada 12 Disember 2014 dengan kos RM5.3 juta yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan sumbangan wakaf orang ramai.
Selain dewan solat utama seluas 60 kaki persegi yang mampu menampung sehingga 1,200 jemaah, masjid berkenaan juga dilengkapi kemudahan bilik imam, pejabat, anjung musyawarah, sudut bacaan ilmiah, dapur, serta bilik pengurusan jenazah.







