SHAH ALAM, 26 FEB: Bazar Aidilfitri Jalan Taiping, Klang yang menempatkan 335 peniaga akan mula beroperasi esok.
Datuk Bandar Klang berkata bazar anjuran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) itu akan dibuka dari jam 5 petang hingga tengah malam.
“Bazar Aidilfitri Jalan Taiping mempunyai penjenamaan yang kukuh, dikenali ramai serta berpotensi mencatat jualan tinggi.
“Reputasi ini menjadikan tapak bazar berkenaan sentiasa menjadi pilihan dan menerima permintaan konsisten yang tinggi setiap tahun,” kata Dato’ Abd Hamid Hussain ketika mempengerusikan mesyuarat penuh MBDK hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan MBDK turut memasang pintu gerbang di bazar berkenaan sebagai simbol kesiapsiagaan menyambut Ramadan, selain menjadi identiti serta tarikan kepada pengunjung.
Pada masa sama, Abd Hamid mengingatkan semua peniaga bazar di sekitar Klang agar sentiasa menjaga kualiti juadah dan tahap kebersihan premis masing-masing.
“Kepada pengunjung pula, marilah kita bersama-sama menyokong kempen kelestarian bandar raya dengan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna serta memastikan kebersihan persekitaran bazar terus terpelihara,” katanya.




