Shah Alam, Klang dan PJ catat IPU tidak sihat, berlarutan hingga malam

26 Feb 2026, 5:29 AM
Shah Alam, Klang dan PJ catat IPU tidak sihat, berlarutan hingga malam

SHAH ALAM, 26 FEB: Beberapa daerah di Lembah Klang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dan dijangka berlarutan sehingga tengah malam ini.

Petaling Jaya mencatat bacaan IPU 100, diikuti Shah Alam (104), manakala Klang merekodkan bacaan tertinggi iaitu 175.

Berdasarkan data terkini Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), beberapa kawasan lain di Selangor merekodkan bacaan sederhana, antaranya Kuala Selangor (59), Banting (89) dan Johan Setia (74).

Situasi itu turut mendapat perhatian pengguna media sosial yang membangkitkan isu jerebu serta mendakwa pembakaran mercun secara besar-besaran sejak dua hari lalu sebagai antara punca kualiti udara merosot.

"Saya ada asma dan malam kelmarin dan pagi semalam, saya kena serang asma yang agak teruk. Guna inhaler beberapa kali pun masih batuk-batuk sampai muntah," kata Effa.y.

Menurutnya lagi, kawasan rumahnya masih berbau mercun terbakar sehingga petang semalam.

"Subang Jaya jerebu, ada mana-mana tempat yang tengah terbakar ke sebab bau asap," kata Lindayiun92.

Seorang lagi warganet, Mbkr8_, mempersoalkan keadaan asap tebal yang menyebabkan jerebu meliputi Putrajaya, Cyberjaya dan kawasan sekitarnya.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan sentiasa memantau bacaan IPU melalui aplikasi MyIPU bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih mengenai tahap pencemaran udara di kawasan masing-masing.

Menurut Ina pula, aktiviti pembakaran mercun yang tidak terkawal mungkin menyumbang kepada bacaan IPU tidak sihat.

"Bangun pagi ini memang berasap sahaja udara, tengok IPU sudah catat tidak sihat," ujarnya.