GOMBAK, 25 FEB: Pimpinan tempatan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan diseru mempertingkatkan kerjasama demi memastikan setiap perancangan dan dasar dilaksanakan secara selaras bagi memenuhi keperluan rakyat.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menekankan kepercayaan rakyat sebagai aset paling bernilai dalam pentadbiran kerana ia menjadi asas sokongan, rasa hormat dan keyakinan terhadap setiap keputusan kerajaan.

“Cabaran hari ini jauh berbeza berbanding 50 tahun lalu, terutama dalam mendepani masyarakat yang semakin terbuka serta landskap komunikasi yang pantas dan tidak menentu.
"Disebabkan itu, kita tidak boleh bergerak secara berasingan atau mengikut zon dan cara sendiri. Jika setiap jabatan bertindak tanpa penyelarasan, rakyat tidak akan melihat penyelesaian menyeluruh terhadap isu seperti pengurusan sampah, banjir dan kebajikan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Parlimen Gombak bersama agensi kerajaan dan pimpinan tempatan di Dewan Beringin, Taman Seri Gombak, malam ini yang dihadiri kira-kira 400 tetamu.

Amirudin menegaskan, tanpa integriti, kejujuran dan keikhlasan dalam mentadbir, sesebuah organisasi boleh hilang kredibiliti dan rasa hormat masyarakat.
“Jika tiada kepercayaan, apa sahaja yang dilakukan tidak akan membawa makna. Kita tidak boleh rasa hebat atau bergerak sendiri. Pentadbiran yang gagal bekerja sebagai satu pasukan yang ampuh boleh runtuh,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak memperkukuh gabungan kepimpinan, pengurusan dan sokongan pentadbiran agar menjadi satu pasukan berkualiti demi menjaga kemaslahatan rakyat.
“Kita perlu bermula dengan pasukan yang tersusun dan sepakat. Apabila pentadbiran menunjukkan perubahan yang baik, rakyat akan bersama-sama menyokong,” tambahnya.
Dalam majlis sama, Amirudin turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada kira-kira 30 anak yatim selain sumbangan Ihya’ Ramadan kepada agensi sekitar Parlimen Gombak sebagai simbolik sokongan dan keprihatinan terhadap masyarakat.




