37 kematian pelajar universiti awam sejak 2021, tiada unsur jenayah – KPT

25 Feb 2026, 6:21 AM
37 kematian pelajar universiti awam sejak 2021, tiada unsur jenayah – KPT

SHAH ALAM, 25 FEB: Sebanyak 37 kematian pelajar direkodkan di universiti awam antara 2021 hingga 2025, namun tiada satu pun melibatkan unsur jenayah, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli berkata, daripada jumlah itu, 18 kematian berpunca daripada kemalangan manakala 19 lagi diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

“Jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan pelajar dalam tempoh lima tahun, kes ini adalah relatif kecil. Namun, sudah tentu kita berharap insiden seperti ini tidak berlaku langsung.

“Kebanyakannya adalah kemalangan, iaitu 18 kes, dan 19 kes kematian mengejut. Alhamdulillah, tiada kes jenayah direkodkan,” katanya pada sesi soal jawab di Parlimen hari ini.

Adam berkata, kerajaan kekal komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar sepanjang berada di kampus.

“Kita mesti memastikan kampus kekal selamat dan kondusif untuk mereka.”

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Jerantut Khairil Nizam Khirudin mengenai jumlah kematian pelajar di kampus dalam tempoh lima tahun lalu, serta pelan jangka pendek, sederhana dan panjang kementerian bagi menambah baik langkah keselamatan.

Adam berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi telah mengeluarkan arahan rasmi kepada semua institusi pendidikan tinggi awam dan swasta supaya menjalankan pemeriksaan keselamatan secara menyeluruh dan berkala.

Ia termasuk menilai semula sistem keselamatan kampus dan asrama, kawalan akses, liputan kamera litar tertutup (CCTV), pencahayaan serta prosedur operasi standard (SOP) kecemasan.

Beliau menambah, kementerian turut bekerjasama rapat dengan pihak polis bagi memperkukuh aspek keselamatan, bukan sahaja di dalam kampus tetapi juga di kawasan sekitar, khususnya dalam mencegah jenayah dan menangani isu keselamatan jalan raya.

Mengulas insiden terbaru melibatkan letupan pemampat pendingin hawa di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara yang mengakibatkan seorang maut dan sembilan cedera, Adam berkata setakat ini laporan penuh masih belum diperoleh.

“Insiden itu melibatkan universiti swasta, jadi proses pelaporan dan pengurusan sedikit berbeza. Kita telah meminta laporan awal dan akan menjawab secara bertulis selepas memperoleh fakta yang disahkan,” katanya.

Apa reaksi anda?