SHAH ALAM, 23 FEB: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengarahkan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menyegerakan kerja pembaikan gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan lebih 200 penduduk di Flat Taman Permata, Dengkil sejak lima hari lalu.
Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata walaupun gangguan itu melibatkan isu keselamatan pendawaian utama bangunan, tempoh pembaikan yang dimaklumkan selama seminggu perlu dipatuhi demi keselamatan penduduk terlibat.
“Lawatan bersama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) selaku badan pengurusan bersama (JMB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mendapati terdapat risiko kebocoran arus elektrik yang boleh mengancam keselamatan penghuni.
“Susulan penemuan itu, bekalan elektrik terpaksa dipotong sementara oleh pihak TNB berikutan risiko tersebut dan saya telah mengarahkan PNSB melaksanakan kerja pembaikan segera tanpa sebarang alasan,” katanya seperti dilapor BH.

Beliau menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu membabitkan keselamatan rakyat dan sebarang kelewatan pembaikan yang tidak munasabah akan dipersoalkan serta tindakan susulan akan dipertimbangkan.
Aiman Athirah yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata perbincangan bersama Pegawai Daerah Sepang turut diadakan bagi memindahkan penduduk terjejas ke Pusat Teduhan Sementara (PTS), dengan kos ditanggung pihak JMB.
Difahamkan, seramai 46 keluarga membabitkan lebih 200 penghuni terkesan dalam insiden berkenaan, yang merupakan gangguan kali kedua selepas kejadian sama tahun lalu.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri membelanjakan kira-kira RM1.5 juta bagi menempatkan penduduk di perumahan sementara susulan keadaan kediaman yang daif hampir 25 tahun, sebelum mereka dipindahkan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampar Tenang yang siap dibina tahun lalu.










