SHAH ALAM, 23 FEB: Polis mengesahkan menerima laporan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas anggotanya dibaling mercun ketika menjalankan operasi di Rawang, Sabtu lalu.
Laporan dibuat di Balai Polis Kundang pada Ahad dan siasatan kini sedang dijalankan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata pihaknya sedang mengesan individu terlibat dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 kerana menyebabkan letupan yang boleh membahayakan nyawa atau harta benda.
“Polis sedang mengesan individu yang terlibat dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Kejadian kira-kira jam 10 malam itu berlaku ketika anggota JPJ menjalankan Op Tahun Baharu Cina di Lebuhraya Kuala Lumpur–Kuala Selangor (LATAR) dan kawasan Tasik Puteri sebelum menahan sebuah motosikal di Jalan Tasik Puteri.
Penunggang dan pembonceng didapati tidak memakai topi keledar. Pemeriksaan lanjut mendapati kesalahan lain termasuk tiada lesen memandu sah, cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans sebelum notis saman dikeluarkan.
Bagaimanapun, ketika saman dikeluarkan, sekumpulan penunggang motosikal dianggarkan 20 hingga 30 orang dipercayai membaling mercun beberapa kali dari sebuah bukit berhampiran.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata pihaknya memandang serius tindakan itu kerana membahayakan anggota penguat kuasa serta pengguna jalan raya lain dan menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat.








