KUALA LUMPUR, 21 FEB: Polis memburu tiga individu dipercayai terlibat dalam kes penipuan dan pukau terhadap seorang pesara kerajaan sehingga menyebabkan wanita itu kerugian barang kemas bernilai kira-kira RM10,000 di sebuah pasar raya di Jalan Pandan Prima, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Khairul Anuar Khalid berkata dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, mangsa berusia 70 tahun didatangi sepasang suami isteri bersama seorang wanita dipercayai warga Indonesia yang berpura-pura meminta bantuan.
“Suspek mendakwa memiliki tiket loteri bernilai RM300,000 dan meminta bantuan mangsa untuk menebusnya dengan alasan tidak mempunyai kad pengenalan, selain menjanjikan imbuhan sebagai balasan.
“Suspek wanita warga asing itu kemudian memegang tangan mangsa menyebabkan warga emas berkenaan seolah-olah dipukau dan bersetuju membantu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa seterusnya dibawa menaiki sebuah Proton Waja dan ketika berada di dalam kenderaan itu, salah seorang suspek memaklumkan tiket loteri berkenaan telah ditukar kepada sekeping cek untuk ditunaikan mangsa.
Bagaimanapun, suspek meminta wang cagaran sebanyak RM30,000 sebagai jaminan kononnya bagi memastikan mereka tidak melarikan diri ketika cek tersebut ditunaikan.
“Oleh kerana tidak mempunyai wang tunai, mangsa menyerahkan seutas rantai dan gelang emas bernilai kira-kira RM10,000 sebagai cagaran.
“Mangsa kemudian dibawa ke sebuah bank untuk menunaikan cek berkenaan, namun sebaik sahaja wanita itu keluar dari kenderaan, kesemua suspek melarikan diri,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


