SABAK BERNAM, 21 FEB: Kegembiraan jelas terpancar pada wajah Muhammad Adam Mukhriz Muhammad Syafik, 10, apabila berpeluang menerima sumbangan Aidilfitri daripada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, hari ini.
Kanak-kanak itu berkata pertemuan berkenaan menjadi detik paling bermakna buat dirinya kerana ia kali pertama dia dapat bersua dengan baginda.
“Saya rasa sangat gembira dan tak sangka dapat jumpa sendiri Raja Muda. Ini kenangan yang saya tidak akan lupa.
“Terima kasih juga atas sumbangan ini. Saya nak guna duit raya untuk beli keperluan sekolah,” kata anak ketiga daripada 10 beradik itu ketika ditemui Media Selangor.

Menerusi Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya di Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Miskin Sekendi, di sini, seramai 25 anak yatim menerima sumbangan sebagai persediaan menyambut Aidilfitri.
Turut berkongsi rasa syukur ialah Nur Aleeya Syaffiyah Mohd Ariff, 10, yang kehilangan bapa ketika berusia lapan tahun.
Anak kedua daripada tiga beradik itu kini tinggal bersama ibunya yang bekerja di sebuah kedai makan bagi menyara keluarga.

“Ini kali pertama saya dapat sumbangan daripada Raja Muda Selangor. Terima kasih sangat-sangat. Saya harap ada lagi pemberian seperti ini pada masa akan datang.
“Walaupun saya sudah kehilangan bapa sejak usia lapan tahun, saya terharu kerana masih ada yang sudi menghulurkan bantuan untuk menceriakan Aidilfitri kami,” katanya.
Bagi kanak-kanak seperti Aleeya, sumbangan tersebut bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya tanda ingatan dan kasih sayang yang menyuntik semangat untuk terus melangkah.
Terdahulu, Tengku Amir Shah berkenan mengurniakan kain pelikat, kain batik dan duit raya kepada 25 anak yatim, selain menyerahkan sumbangan 100 kilogram beras kepada pihak asrama berkenaan.










