SABAK BERNAM, 21 FEB: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli ke Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya kepada 25 anak yatim di Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim Miskin Sekendi, di sini hari ini.
Ketibaan baginda kira-kira jam 12.30 tengah hari disambut EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah, EXCO Kemajuan Desa Dato’ Rizam Ismail serta Pengerusi Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) Tan Sri Dato’ Setia Mazlan Mansor.
Dalam majlis itu, baginda berkenan mengurniakan kain pelikat, kain batik dan duit raya kepada semua anak yatim sebagai persediaan menyambut Aidilfitri, selain menyerahkan sumbangan 100 kilogram beras kepada pihak asrama.
Tengku Amir Shah turut berkenan menyaksikan penyerahan cek cura daripada rakan sinergi Yide iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjumlah RM100,000 bagi pembinaan prasarana dewan asrama berkenaan.

Selain itu, Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menyalurkan RM41,000 untuk kerja penambahbaikan surau termasuk penggantian permaidani, manakala Rizam yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar membiayai kerja penurapan jalan dari jalan utama ke asrama terbabit.
Baginda turut berkenan mendengar tazkirah Ramadan yang disampaikan Timbalan Mufti Selangor Dato’ Dr Miszairi Sitiris sebelum menunaikan solat Zuhur dan berangkat meninggalkan majlis kira-kira jam 2.30 petang.
Mazlan dalam sembah ucapannya berkata penganjuran majlis berkenaan mencerminkan komitmen berterusan institusi diraja dan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh kebajikan golongan memerlukan, khususnya anak yatim.
“Patik dengan penuh takzim merafak sembah menjunjung kasih atas limpah perkenan dan kurniaan DYTM Raja Muda Selangor. Sesungguhnya kurniaan ini amatlah bermakna kepada semua penerima.
“Sumbangan ini diharap dapat menceriakan serta menyuntik semangat anak-anak dalam menyambut ketibaan Syawal sekali gus berpeluang menikmati kehidupan yang lebih selesa serta membina masa depan yang cemerlang,” katanya.

Menurut kenyataan Yide, asrama yang ditubuhkan pada 1985 di atas tanah seluas empat ekar itu merupakan antara 35 rumah kebajikan anak yatim berdaftar di bawah yayasan berkenaan.
Ia diasaskan Allahyarham Ustaz Hayat @ Abdul Latif Syukor dan kini diterajui Ahmad Bustamam Abd Latiff bagi menyediakan perlindungan serta pendidikan kepada anak yatim dan miskin sekitar Sabak Bernam.
Pada 1995, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj pernah berangkat melawat asrama tersebut, mencerminkan keprihatinan berterusan institusi diraja terhadap kebajikan anak yatim di Selangor.




