SHAH ALAM, 21 FEB: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengagihkan 1,000 bekas bubur lambuk kepada orang ramai sempena program Ramadan Kasih PKNS di Aneka Walk, petang semalam.
Program berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa pemain Selangor FC antaranya Safuwan Baharudin, Faisal Halim, Harith Haiqal, Zikri Khalili dan Izwan Yuslan.
Terdahulu, majlis disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut dihadiri EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Dato’ Mahmud Abbas.

PKNS dalam kenyataan memaklumkan sebanyak RM48,000 diperuntukkan bagi menjayakan program agihan bubur lambuk kepada orang awam, khususnya penduduk sekitar Bandar Raya Shah Alam.
"Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) PKNS yang dilaksanakan setiap kali menjelang Ramadan sebagai platform mendekati komuniti setempat." katanya dalam kenyataan.
Pada majlis sama, PKNS turut melaksanakan program Bakul Kasih Ramadan dengan sumbangan bernilai RM10,000 kepada Yayasan Belia Malaysia yang diwakili Rosli Abu Bakar.
Sumbangan itu merangkumi barangan keperluan asas termasuk beras, minyak masak, gula, tepung dan telur bagi membantu penerima membuat persiapan menyambut Ramadan.
“Kesemua inisiatif ini bertujuan menyantuni golongan memerlukan, sekaligus mencerminkan komitmen berterusan PKNS dalam menyemarakkan nilai kebersamaan dan keprihatinan masyarakat sepanjang bulan Ramadan,” katanya.

Agihan bubur lambuk PKNS dijadual diteruskan pada 25 Februari khusus untuk warga PKNS, manakala sesi seterusnya kepada orang awam akan diadakan pada 4 dan 11 Mac dengan 1,000 bekas disediakan bagi setiap tarikh.




