Zabidah wanita pertama dilantik sebagai Datuk Bandar Shah Alam

19 Feb 2026, 5:45 AM
Zabidah wanita pertama dilantik sebagai Datuk Bandar Shah Alam

SHAH ALAM, 19 FEB: Dato’ Zabidah Safar hari ini melapor diri sebagai Datuk Bandar Shah Alam ke-13 menggantikan Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim, sekali gus menjadi wanita pertama dilantik sebagai Datuk Bandar Shah Alam.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan Zabidah menggantikan Mohd Fauzi yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) di Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

“Dengan pengalaman luas dalam perkhidmatan awam, pelantikan Zabidah diharapkan akan terus memperkasakan perkhidmatan dan kecemerlangan MBSA sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang progresif dan berdaya saing,” maklumnya menerusi Facebook.

Difahamkan, majlis angkat sumpah dan pelantikan Datuk Bandar Shah Alam baharu akan disempurnakan di Dewan Perbandaran, Wisma MBSA, esok.

Mohd Fauzi, 59, dilantik sebagai Datuk Bandar Shah Alam pada Jun 2024, selepas menjawat jawatan sebagai Datuk Bandar Subang Jaya selama setahun sebelum itu.

Sepanjang menerajui MBSA, Mohd Fauzi amat memberi penekanan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan perbandaran selain memastikan kecekapan dan kepantasan kakitangannya bagi memastikan kesejahteraan warga Shah Alam