SHAH ALAM, 18 FEB: Detik manis buat remaja Sindrom Down, Aqil Saifullah, 19, apabila berpeluang bertemu dan berpelukan dengan idola bola sepaknya, tonggak Selangor FC, Faisal Halim di Stadium Merdeka baru-baru ini.
Kakaknya, Aina Sofiya Zamri, 27, berkata selepas pertemuan itu, wajah Aqil berseri malah pagi tadi sebelum makan pun, dia menyebut nama Faisal Halim sambil membaca doa.
Video gelagat Aqil melakukan aksi ‘siuu’ bersama Faisal yang dimuat naik Aina di Threads tular di media sosial, sekali gus mencuri perhatian ramai.
“Video itu momen bermakna buat keluarga kerana adik istimewa kami terlalu meminati Faisal. Kami ambil peluang berada di stadium untuk mempertemukannya dengan idolanya,” kata Aina, lapor Harian Metro.
Menurut Aina, minat Aqil terhadap Faisal bermula daripada kekagumannya terhadap Cristiano Ronaldo dan aksi ‘siuu’ pemain itu.
“Sejak dua tiga tahun kebelakangan ini, dia rancak minat Faisal. Kalau ada perlawanan Selangor, dia mesti tonton Highlights di YouTube. Kalau nampak Faisal di televisyen, dia sebut nama itu berulang kali,” tambahnya.
Detik pertemuan itu berlaku ketika Aqil duduk di tepi palang besi padang. Apabila Faisal menghampiri, Aqil berlari dan memeluk idolanya. Walaupun kawasan padang bukan untuk orang awam, Aina percaya petugas memahami keadaan Aqil.
Selain Faisal, Aqil juga sempat berinteraksi dengan jurulatih Kim Pan-gon dan beberapa pemain lain.
“Kami sedar minat Aqil terhadap bola sepak adalah sesuatu yang bermakna. Daripada dia main permainan video tanpa henti, kami lebih suka dia minat bola sepak,” kata Aina.
Selepas pulang ke rumah, Aqil terus menyebut nama idolanya dengan wajah berseri, seakan masih terkejut dan tidak percaya pengalaman itu.
Momen itu bukan sahaja menceriakan Aqil, tetapi turut menyentuh hati ramai pihak yang menonton video gelagatnya di media sosial.




