Ramadan medan tarbiyah diri, perkukuh takwa - PM

18 Feb 2026, 8:58 AM
Ramadan medan tarbiyah diri, perkukuh takwa - PM

SHAH ALAM, 18 FEB: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam menjadikan Ramadan sebagai medan tarbiyah diri bagi membentuk peribadi yang bertakwa, berdisiplin dan berintegriti dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata, ibadah puasa serta amalan sepanjang bulan mulia itu wajar dihayati sebagai proses pembinaan sahsiah dan penyucian jiwa berteraskan kesedaran diri serta rasa takut kepada Allah SWT.

“Tuntutan ibadah puasa dan segala amalan lain dalam Ramadan bukan semata-mata memenuhi syarat dan rukun, sebaliknya bertujuan mencapai hikmah serta objektif syariat.

"Sehubungan itu, motivasi beribadah sepanjang Ramadan perlu digerakkan dengan semangat mujahadah yang bukan sahaja menggapai cita-cita ukhrawi, malah meningkatkan disiplin diri dan kesungguhan dalam menunaikan tanggungjawab harian,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Anwar, kemuncak kenikmatan Ramadan ialah pencapaian takwa yang lahir daripada latihan rohani, kawalan diri dan kewaspadaan batin sepanjang melaksanakan ibadah puasa.

Beliau turut merujuk firman Allah SWT dalam Surah Al-‘Ankabut ayat 69 yang menegaskan bahawa mereka yang berusaha bersungguh-sungguh di jalan Allah akan dipimpin ke jalan-Nya, dan pertolongan-Nya sentiasa bersama golongan yang memperbaiki amal.

Sempena kedatangan Ramadan, Anwar menzahirkan kesyukuran kerana diberi kesempatan bertemu kembali dengan bulan yang penuh keberkatan dan dinantikan umat Islam.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan doa yang dibaca ketika melihat anak bulan Ramadan sebagaimana diriwayatkan oleh Talhah bin Ubaidillah RA, di mana Rasulullah SAW memohon keberkatan, keselamatan dan keimanan untuk seluruh umat Islam.

Semalam, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan umat Islam di seluruh negara akan mula berpuasa pada Khamis, 19 Februari ini.

Apa reaksi anda?