KPDN laksana Ops Pantau bermula esok, elak manipulasi harga

18 Feb 2026, 5:47 AM
KPDN laksana Ops Pantau bermula esok, elak manipulasi harga

SHAH ALAM, 18 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Ops Pantau bermula 19 Februari hingga 20 Mac ini bagi memastikan harga dan bekalan barangan terkawal sepanjang Ramadan dan Aidilfitri.

Menurut kementerian itu operasi berkenaan juga bertujuan membanteras manipulasi harga serta gangguan bekalan barangan asas di pasaran ketika tempoh permintaan tinggi.

Ops Pantau merangkumi pemeriksaan di pelbagai premis termasuk pasar raya, pasar raya besar, kedai runcit, pasar tani, pasar pagi dan pasar malam serta platform penjualan dalam talian.

Penguat kuasa turut memantau premis yang mengadakan jualan murah bagi memastikan tiada iklan mengelirukan selain mengekang penjualan barangan tiruan di bazar Ramadan dan Aidilfitri.

Antara fokus utama ialah pemantauan harga barangan kawalan serta memastikan bekalan barangan asas seperti gula, ayam, telur, minyak masak dan tepung gandum mencukupi di pasaran.

Orang ramai yang mengesan sebarang salah laku peniaga diminta menyalurkan aduan melalui saluran rasmi KPDN bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan segera diambil.