SHAH ALAM, 18 FEB: Mayat kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa pembunuhan di Taman Cerating Damai dekat Kuantan, semalam dibedah siasat pagi ini pada hari ulang tahun kelahiran keduanya.
BH melaporkan, mangsa, Nur Sumayyah Humairah, dilahirkan pada 18 Februari 2024 dan dipercayai antara empat ahli keluarga yang dibunuh bapa kandungnya dalam kejadian pagi semalam.
Proses bedah siasat turut dijalankan terhadap tiga lagi mangsa, termasuk kakaknya, Nur Saffiyah Humairah, 5, serta nenek mereka yang berusia 55 tahun.
Prosedur itu bermula kira-kira jam 8.45 pagi di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
Sementara itu, bedah siasat terhadap lelaki berusia 32 tahun yang dipercayai membunuh keluarganya dan isterinya berusia 28 tahun sudah selesai semalam.
Kesemua lima jenazah dijangka dikebumikan di tanah perkuburan di Cerating, Kuantan selepas solat Zohor hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi semalam, mayat lima sekeluarga ditemui di sebuah rumah teres setingkat di Taman Cerating Damai.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata dalam kejadian itu suspek dipercayai membunuh isteri, dua anaknya dan ibu kandung menggunakan pisau sebelum suspek kemudian membunuh diri di sisi mayat isteri serta dua anaknya dalam sebuah bilik.
Difahamkan suspek sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori di Klang dan pulang ke Kuantan serta bekerja pengawal keselamatan sejak awal bulan ini.
Motif kejadian dipercayai akibat masalah kewangan dan difahamkan suspek tidak mempunyai rekod rawatan kesihatan mental.








