Polis: Hentakan objek tumpul di kepala punca kematian Irene Sofiya

5 Okt 2026, 7:18 AM
Polis: Hentakan objek tumpul di kepala punca kematian Irene Sofiya

SHAH ALAM, 5 OKT: Kecederaan trauma akibat hentakan objek tumpul di kepala disahkan menjadi punca kematian pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditemukan maut di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor, Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata dapatan itu diperoleh menerusi bedah siasat yang dijalankan Pakar Patologi Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, semalam, lapor Berita Harian.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan profesional tanpa melindungi mana-mana pihak.

“PDRM memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional tanpa sebarang elemen ‘cover-up’ atau melindungi mana-mana pihak,” katanya.

Menurut Kumar, siasatan berjalan lancar dengan kerjasama pihak sekolah dan Kementerian Pendidikan.

Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan pada 3 Oktober, hari kejadian, dan direman enam hari bermula 4 hingga 9 Oktober bagi membantu siasatan.

Kes disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam masa sama, polis meminta orang ramai menghentikan penyebaran maklumat palsu serta mengelakkan spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

“Kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau memberi komen yang boleh mengganggu proses siasatan atau memanipulasi fakta sehingga menimbulkan kegusaran,” katanya.

Mangsa, pelajar Tingkatan Empat, ditemukan dalam keadaan parah di sebuah dewan sekolah kira-kira jam 5.30 petang sebelum disahkan meninggal dunia.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.