Insentif tibi RM800 diteruskan, 782 pesakit terima bantuan

18 Feb 2026, 1:00 AM
Insentif tibi RM800 diteruskan, 782 pesakit terima bantuan
Insentif tibi RM800 diteruskan, 782 pesakit terima bantuan

SHAH ALAM, 18 FEB: Kerajaan Negeri terus giat merawat penyakit batuk kering atau tuberkulosis (tibi) menerusi bantuan insentif RM800 sehingga pesakit sembuh sepenuhnya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata insentif itu disalurkan melalui program Insentif Rawatan Tuberkulosis (Tibi) yang diperkenalkan sejak dua tahun lalu bagi membantu pesakit menampung kos rawatan.

“Dalam keadaan jangkitan tibi kembali menular di beberapa kawasan, Kerajaan Selangor terus giat laksanakan program merawat penyakit itu.

“Bantuan RM800 diberikan kepada pesakit agar boleh dimanfaatkan dalam bentuk ubatan sehingga jangkitan selesai dirawat,” katanya menerusi Facebook.

Sebelum ini, EXCO kesihatan awam Jamaliah Jamaluddin memaklumkan 782 pesakit tibi menerima insentif RM800 daripada Kerajaan Negeri sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, jumlah itu meningkat berbanding 765 pesakit yang direkodkan pada 2024, iaitu tahun pertama pelaksanaan bantuan berkenaan.

Bagaimanapun Jamaliah menjelaskan peningkatan penerima bukan berpunca daripada pertambahan kes, sebaliknya disebabkan faktor kelayakan serta capaian bantuan yang lebih meluas.

Untuk rekod, bagi tempoh Minggu Epidemiologi (ME) satu hingga empat tahun ini, 424 kes tibi didaftarkan di Selangor berbanding 443 kes bagi tempoh sama tahun lalu, sekali gus menunjukkan penurunan 19 kes.

Dalam masa sama, empat wabak tibi aktif sedang dipantau Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berkaitan, namun kesemuanya berskala kecil dan terkawal sepenuhnya.

Tiada penularan meluas kepada masyarakat dilaporkan setakat ini dan tiada kematian direkodkan.