50 rumah, premis di Klang terjejas disebabkan hujan berterusan

17 Feb 2026, 11:32 AM
50 rumah, premis di Klang terjejas disebabkan hujan berterusan
50 rumah, premis di Klang terjejas disebabkan hujan berterusan
50 rumah, premis di Klang terjejas disebabkan hujan berterusan

SHAH ALAM, 17 FEB: Sebanyak 50 kediaman dan premis di daerah Klang terjejas susulan hujan berterusan sejak malam tadi, menurut pegawai daerahnya.

Amri Ismail berkata antara kawasan yang dinaiki air ialah di Taman Rashna, kawasan perindustrian Sungai Rasau, Taman Mutiara, Bukit Raja dan Jalan Meru, Batu 3.

Menurutnya, kawasan terbabit mula dinaiki air kira-kira jam 9 malam dengan paras air dianggarkan antara 0.1 hingga 0.3 meter.

“Sebanyak 30 kediaman dan 20 premis terkesan akibat hujan lebat berterusan dalam lembangan Sungai Klang dan kawasan Bukit Raja yang menyebabkan peningkatan paras air.

“Selain itu, kedalaman longkang tidak dapat menampung kuantiti air yang berlebihan. Namun, tiada laporan kemalangan jiwa diterima dan pusat pemindahan sementara dibuka,” katanya dihubungi Media Selangor.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan penduduk yang terjejas boleh memohon bantuan bencana daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, pusat khidmat masyarakat dan agensi berkaitan.

Fenomena air pasang besar dijangka berlaku sehingga 20 Februari ini dan berpotensi menyebabkan limpahan air laut ke kawasan daratan serta meningkatkan risiko banjir di kawasan rendah.

Berikutan itu, Pusat Hidrografi Nasional (PHN) menasihatkan penduduk yang tinggal di pesisir pantai supaya sentiasa berwaspada, memantau perubahan paras air laut serta mengikuti maklumat rasmi dikeluarkan pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan.

Berdasarkan Jadual Pasang Surut Malaysia 2026, paras air laut di Stesen Pelabuhan Klang dijangka mencecah antara 4.8 hingga 5.23 meter sepanjang tempoh berkenaan, dengan bacaan tertinggi diramal pada 19 Februari.