60 peratus aduan libat pembesar suara, JAIS ingatkan masjid patuh garis panduan

17 Feb 2026, 1:00 AM
60 peratus aduan libat pembesar suara, JAIS ingatkan masjid patuh garis panduan

SHAH ALAM, 17 FEB: Pentadbiran masjid dan surau di negeri ini diingatkan supaya mematuhi garis panduan penggunaan pembesar suara luar yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pengarahnya, Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata kira-kira 60 peratus aduan diterima berkaitan penyalahgunaan alat tersebut di luar tempoh yang dibenarkan.

Menurut beliau, pembesar suara luar hanya dibenarkan lima minit sebelum dan ketika azan sejak 2017, manakala penggunaannya sepanjang solat tarawih adalah satu kesalahan.

“Pelbagai aduan diterima tetapi 60 peratus daripadanya berkaitan pembesar suara. Banyak kes antaranya nazir terlupa tekan suis pembesar suara di dalam sahaja ketika kuliah,” katanya kepada Media Selangor.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Dato' Mohd Shahzihan Ahmad ketika temu bual di pejabatnya di Shah Alam pada 16 Februari 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Sehubungan itu, Mohd Shahzihan berkata, perkara berkenaan perlu diberi perhatian serius dan kegagalan mematuhi garisan panduan ditetapkan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Kita perlu kekalkan keharmonian dan fahaminya. Bacaan ayat al-Quran dan azan boleh menggunakan pembesar suara luar tetapi ketika kuliah gunakan pembesar suara di dalam sahaja.

“Arahan ini dikeluarkan kerana banyak sejarahnya dahulu. Antaranya, suara penceramah yang terlalu tinggi atau topik diberikan berkaitan dengan politik. Sebab itu kita kuatkuasakan arahan ini,” ujarnya.

Pada 23 Oktober 2017, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan supaya penggunaan pembesar suara bagi kuliah, ceramah dan tazkirah dihadkan di dalam bangunan masjid dan surau sahaja kecuali bagi laungan azan dan bacaan ayat suci al-Quran.

Larangan tersebut bertujuan memelihara imej agama Islam yang mementingkan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya.

Apa reaksi anda?