Tahun Kuda lambang semangat baharu, MB tekad perkukuh ekonomi Selangor

16 Feb 2026, 2:00 PM
Tahun Kuda lambang semangat baharu, MB tekad perkukuh ekonomi Selangor

SHAH ALAM, 16 FEB: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyifatkan Tahun Kuda sebagai lambang kekuatan, kepantasan dan semangat tinggi yang perlu dijadikan dorongan untuk terus memacu kemajuan Selangor.

Dalam perutusan sempena Tahun Baharu Cina, beliau berkata simbolik Tahun Kuda dalam zodiak kalendar lunar Cina menggambarkan daya tahan dan gerak kerja dinamik, seiring komitmen kerajaan negeri untuk memperkukuh pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

“Bagi Negeri Selangor, tahun ini kita akan terus berusaha memperkukuh kemajuan dan kemakmuran negeri, bergerak lebih mantap dalam aspek ekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti demi kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Amirudin menegaskan kepelbagaian masyarakat Selangor yang rencam dan majmuk adalah kekuatan utama negeri yang perlu terus dipelihara.

Beliau berharap rakyat kekal berhemah dalam menghormati perbezaan dan bersama-sama mempertahankan keharmonian yang dinikmati.

Dalam masa sama, katanya, kerajaan negeri turut mengagihkan Baucar Jom Shopping bagi membantu golongan memerlukan agar mereka turut merasai kemeriahan sambutan perayaan.

Beliau turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada masyarakat Tionghua di Selangor dan seluruh negara.