Jangan gadai perpaduan, Sultan Selangor titah hormati perayaan kaum lain

16 Feb 2026, 1:17 PM
Jangan gadai perpaduan, Sultan Selangor titah hormati perayaan kaum lain

SHAH ALAM, 16 FEB: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru rakyat supaya tidak terpengaruh dengan tindakan segelintir pihak, khususnya ahli politik yang gemar memainkan isu sensitif hingga mencetuskan perpecahan demi kepentingan sempit.

Menerusi titah perutusan sempena Tahun Baharu Cina, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menegaskan perpaduan yang dinikmati negara tidak wajar digadaikan dengan retorik yang memecah-belahkan masyarakat.

“Beta berharap agar rakyat jelata terus memelihara keharmonian dengan menjadikan nilai kesederhanaan, rasa hormat dan semangat kekitaan sebagai pegangan bersama.

“Hormatilah perayaan agama dan budaya kaum lain sebagaimana kita mahu perayaan kita dihormati,” titah Baginda.

Sultan Sharafuddin mengingatkan, setiap perayaan harus dijadikan wadah untuk memperkukuhkan semangat muhibbah dan saling hormat-menghormati antara semua kaum.

Baginda bertitah perayaan seperti Tahun Baharu Cina bukan sekadar tradisi, sebaliknya lambang kekayaan budaya dan warisan yang membentuk identiti negara.

Titah Sultan Selangor, Malaysia dibina atas kepelbagaian kaum, agama dan budaya, dan kekuatan itulah yang menjadikan negara ini unik serta dihormati di persada dunia.

“Sempena sambutan Tahun Baru Cina yang penuh bermakna ini, Beta dan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin ingin mengucapkan Gong Xi Fa Cai kepada seluruh masyarakat Tionghua yang meraikannya di negeri Selangor dan juga di seluruh Malaysia.

“Semoga tahun yang baharu ini membawa kesejahteraan, kemakmuran serta kebahagiaan buat semua,” titah Baginda.