SHAH ALAM, 16 FEB: Bekalan kelapa bagi keperluan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini mencukupi, dengan harga dijangka kekal stabil bergantung kepada permintaan dan penawaran pasaran.
Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Aminuddin Zukipli berkata setakat ini negara tidak berdepan kekurangan bekalan dan FAMA bersedia menambah import sekiranya permintaan meningkat menjelang musim perayaan, lapor Berita Harian.
“Kita tidak berada dalam keadaan kekurangan bekalan. Setakat ini bekalan mencukupi dan kita sentiasa bersedia membawa masuk tambahan jika perlu,” katanya pada sidang media Kursus Pemerkasaan Eksport & Keusahawanan Global (GLOBEX) Siri 1: United Kingdom, hari ini.
Beliau berkata FAMA melalui FAMACorp mengimport kelapa terutama dari Indonesia bagi menampung keperluan domestik, khususnya ketika permintaan meningkat sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri.
Menurutnya, dua minggu awal Ramadan belum menggambarkan keadaan sebenar dan trend permintaan biasanya lebih jelas apabila hampir Aidilfitri.
“Kita akan kaji semula trend pasaran sebelum membuat keputusan menambah import,” katanya.
Mengulas harga, Aminuddin berkata ia bergantung kepada bekalan dan permintaan, namun pengurusan bekalan yang baik dapat membantu mengekalkan kestabilan harga.
Beliau turut memaklumkan FAMA mempunyai urusan dan perjanjian dengan pembekal antarabangsa bagi memastikan bekalan terkawal sekiranya berlaku peningkatan mendadak permintaan.


