Rezeki Aqil! Remaja istimewa bertemu Faisal Halim, momen sentuh hati

16 Feb 2026, 9:16 AM
Rezeki Aqil! Remaja istimewa bertemu Faisal Halim, momen sentuh hati

SHAH ALAM, 16 FEB: Seorang remaja lelaki Sindrom Down yang merupakan peminat tegar Selangor FC berpeluang bertemu idolanya, Faisal Halim dalam satu momen yang menyentuh hati ramai.

Menerusi hantaran di aplikasi Threads, kakaknya, Aina Sofiya berkongsi kegembiraan adiknya yang dikenali sebagai Aqil selepas akhirnya dapat bertemu pemain kesayangannya itu.

Menurutnya, momen tersebut disifatkan sebagai hari paling bermakna buat Aqil, 19, yang sudah lama meminati Faisal dan pasukan Gergasi Merah.

Momen itu berlaku ketika sesi ‘Meet & Greet’ bersama Kim Pan-gon dan legenda Selangor FC, selain sesi latihan terbuka eksklusif skuad Gergasi Merah di Stadium Merdeka, semalam.

Aina berkata, Aqil sering menyebut nama Faisal hampir setiap hari dan amat meminati pasukan tersebut.

@selangorfc Seronok adik Aqil dapat join players 🙌 Nanti kita jumpa dekat Stadium MBPJ, Ahad ni👀 #HariLegasiMerahKuning ♬ original sound - Selangor FC

Pertemuan berkenaan menyaksikan Aqil memeluk kapten Selangor FC itu sebaik sahaja berpeluang mendekatinya.

“Awak bayangkan, hari-hari dia sebut nama Faisal Halim. Rezeki Allah nak bagi dia gembira. Aqil akhirnya dapat jumpa dia (Faisal) depan-depan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan mereka pada awalnya bimbang sekiranya Aqil akan ditegur atau diminta keluar dari kawasan padang susulan tindakannya yang spontan.

Bagaimanapun, suasana berjalan lancar dan momen tersebut turut dirakam beberapa individu yang berada di lokasi.

Tinjauan Media Selangor mendapati rakaman pertemuan itu turut dimuat naik di akaun TikTok rasmi Selangor FC.

Dalam pada itu, Aina Sofiya merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang menyukai dan berkongsi hantaran mengenai Aqil serta mendoakan kesejahteraan adiknya.

“Terima kasih kepada semua yang like dan repost. Doakan Aqil sihat selalu. Moga doa kalian dibalas Allah berlipat kali ganda,” katanya.

Perkongsian tersebut menerima reaksi positif warga maya yang tersentuh melihat keterujaan Aqil bertemu pemain idolanya.