Penguatkuasaan bersepadu dilaksana tangani trend vape pelajar sekolah

16 Feb 2026, 8:54 AM
Penguatkuasaan bersepadu dilaksana tangani trend vape pelajar sekolah

SHAH ALAM, 16 FEB: Penguatkuasaan bersepadu akan diperkukuh bagi mengekang penularan penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah.

Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Fisol Salleh berkata usaha itu melibatkan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, penggunaan vape dalam kalangan remaja semakin membimbangkan, malah ada peranti dijadikan koleksi.

“Penjualan peranti dan cecair vape secara meluas termasuk dalam talian memberi akses kepada remaja untuk membelinya walaupun larangan ke atas pengguna bawah 18 tahun telah dikuatkuasakan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Fisol berkata masalah pelajar membawa vape ke sekolah juga sukar dikawal kerana peranti itu kecil dan mudah disimpan.

Katanya, selain penguatkuasaan, pihak berkuasa turut menekankan aspek bahaya penggunaan rokok elektronik, khususnya cecair yang mengandungi bahan dadah sintetik yang boleh menjejaskan kesihatan jangka panjang.

Beliau menegaskan tindakan bersepadu dan kerjasama masyarakat amat penting bagi menangani isu tersebut.