SHAH ALAM, 16 FEB: Selangor bersedia berkongsi pengalaman serta perancangan penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 bagi membantu Kelantan yang bakal menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu pada 2028.
EXCO Sukan, Mohd Najwan Halimi berkata Sekretariat SUKMA Selangor 2026 komited mencurah kepakaran dan pengalaman bagi memudahkan Kelantan membuat persediaan awal.
“Sekretariat Selangor sedang melaksanakan pelbagai perancangan dalam penganjuran SUKMA di Selangor, jadi kita boleh membantu Kelantan dalam aspek-aspek ini.
“Kita turut mengalu-alukan kehadiran pegawai Sekretariat SUKMA Kelantan untuk bersama-sama Sekretariat Selangor sebagai menimba pengalaman awal menjelang penganjuran SUKMA Kelantan 2028,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mohd Najwan mengadakan kunjungan hormat bersama delegasi Sekretariat SUKMA XXII dan PARA SUKMA Selangor 2026 kepada EXCO Belia, Sukan dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, Zamakhshari Muhamad, hari ini.
Sebelum itu, delegasi sama turut mengadakan kunjungan hormat ke Sabah, Sarawak dan Terengganu sebagai sebahagian tradisi negeri tuan rumah menjemput kerajaan negeri lain menyertai temasya berkenaan.
SUKMA ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 dengan upacara pembukaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), manakala PARA SUKMA akan diadakan dari 5 hingga 14 September 2026.
Sebanyak 474 acara melibatkan 37 sukan akan dipertandingkan di sembilan daerah dengan 52 venue, manakala PARA SUKMA pula, 10 sukan membabitkan 316 acara akan berlangsung di Petaling dan Klang.
Sebelum ini, Mohd Najwan memaklumkan kerja penaiktarafan venue SUKMA 2026 telah mencapai kira-kira 80 peratus setakat 8 Februari dan dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya Mei ini, mengikut jadual sekretariat penganjuran.


