SHAH ALAM, 16 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita 190 tong gas petroleum cecair (LPG) dalam satu serbuan ke atas premis tanpa lesen di Kajang pada 9 Februari lalu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata operasi tersebut dijalankan oleh Bahagian Penguat Kuasa Putrajaya hasil maklumat risikan berhubung kewujudan premis tanpa nama yang disyaki menyimpan barang kawalan tanpa lesen sah.
Menurutnya, ketika serbuan dijalankan, premis berpagar zink itu didapati berkunci sebelum pasukan penguat kuasa berjaya memasuki kawasan berkenaan bagi tujuan pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua individu warga tempatan iaitu seorang lelaki dan seorang wanita yang masing-masing berperanan sebagai pemandu lori dan pemandu kereta.
“Pasukan turut menemui sebuah lori jenis Daihatsu yang membawa 110 tong LPG jenama BHP berkapasiti 14 kilogram (kg) dan 80 tong LPG 14 kg dan 50 kg di kawasan pelantar premis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati bekalan LPG berkenaan diperoleh daripada sebuah syarikat di Bandar Rinching, Semenyih.
"Namun pemeriksaan mengesahkan premis di Kajang itu tidak mempunyai lesen sah untuk menyimpan atau menjalankan urus niaga barang kawalan," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, KPDN menyita kesemua tong LPG terbabit bersama sebuah lori dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM83,116.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan serta menjalankan urus niaga tanpa lesen sah daripada Pengawal Bekalan.
“KPDN ingin menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar perundangan yang ditetapkan.
"Individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan melalui saluran rasmi bagi memastikan ketirisan subsidi negara dapat dibanteras sepenuhnya.
Maklumat boleh disalurkan melalui WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.








