SHAH ALAM, 15 FEB: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menyerbu sebuah lokasi di Hulu Bernam yang dikenal pasti sebagai tapak pembuangan sampah haram dalam operasi bersepadu, semalam.
Operasi itu membabitkan Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam serta Jabatan Kejuruteraan bagi menjalankan pemeriksaan dan tindakan undang-undang.
MPHS dalam kenyataan di Facebook memaklumkan hasil pemeriksaan mendapati berlaku aktiviti pembuangan sampah tanpa kebenaran yang sah.
“Hasil pemeriksaan mendapati berlaku aktiviti pembuangan sampah tanpa kebenaran yang sah dan perbuatan tersebut merupakan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MDHS) 2007,” menurut kenyataan itu.
Susulan itu, MPHS menyita jentera yang terlibat di bawah Undang-Undang Kecil 21(1).
Dalam tindakan lanjut, Jabatan Kejuruteraan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 70A(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 manakala Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam mengeluarkan Notis B serta Notis Arahan Pembetulan.
MPHS turut memberi amaran tindakan tegas termasuk sitaan, kompaun dan pendakwaan akan diambil tanpa kompromi terhadap pihak yang terlibat.








