PJRM: KOHIJRAH pasar hasil kampung terus kepada pengguna

15 Feb 2026, 2:12 PM
PJRM: KOHIJRAH pasar hasil kampung terus kepada pengguna

SHAH ALAM, 15 FEB: Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KOHIJRAH) dilantik sebagai operator Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) bagi memasarkan hasil pertanian penduduk kampung terus kepada pengguna.

Program di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu melibatkan KOHIJRAH sebagai perantara mengumpul dan memasarkan hasil pertanian melalui platform PJRM.

EXCO Kemajuan Desa dan Perpaduan, Datuk Rizam Ismail berkata langkah itu bagi memastikan ekonomi setempat terus berkembang dan hasil penduduk desa mendapat nilai lebih adil.

“KOHIJRAH menjadi perantara mengambil hasil pertanian orang kampung untuk dipasarkan melalui PJRM,” katanya menerusi Facebook.

Majlis penyerahan surat kerjasama itu turut disaksikan Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali.

Dalam masa sama, Rizam berkata kerajaan negeri melalui Standco Pengguna memperkasakan Skuad Kita Pengguna (SKiP) dan Skuad Sehati di 22 Parlimen di Selangor.

Katanya, Program Advokasi Pengguna digerakkan bersama KPDN Negeri Selangor bagi mendidik masyarakat mengenai hak pengguna dan ancaman penipuan siber.

Menurut beliau, program pendidikan pengguna itu telah dilaksanakan di semua 22 Parlimen tahun lalu.

Apa reaksi anda?