JER Mega Aidilfitri 14-15 Mac di lapan DUN, 1,000 ayam setiap lokasi

7 Mac 2026, 1:00 AM
JER Mega Aidilfitri 14-15 Mac di lapan DUN, 1,000 ayam setiap lokasi

AMPANG JAYA, 7 MAC: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan menganjurkan Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) Mega Aidilfitri pada 14 dan 15 Mac ini bagi membantu meringankan kos perbelanjaan rakyat menjelang perayaan.

EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim berkata program jualan murah itu akan diadakan di lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Pada 14 Mac, program akan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari di Sijangkang, Batang Kali, Tanjung Sepat dan Pelabuhan Klang.

“Untuk 15 Mac pula diadakan pada waktu sama di Sabak, Sungai Tua, Batu Tiga serta Pandan Indah,” katanya pada sidang media selepas program Jelajah Sentuhan Kasih Ramadan di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam, kelmarin.

Tambahnya, PKPS akan menyediakan 1,000 ekor ayam di setiap lokasi jualan, berbanding hanya 400 ekor sebelum ini.

“Pelbagai barangan keperluan asas lain turut ditawarkan dengan potongan harga antara 20 peratus hingga 30 peratus,” ujarnya.

Dalam pada itu, Izham memberi jaminan bekalan makanan di Selangor mencukupi menjelang Aidilfitri.

Petugas Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengangkat ayam untuk dijual sempena program Jualan Ehsan Rahmah. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menurutnya, bekalan utama seperti ayam dan daging berada pada tahap mencukupi dan setakat ini tiada masalah yang dijangka berlaku.

“Kerajaan Negeri masih memantau keadaan bekalan dan harga bagi memastikan ia kekal terkawal menjelang musim perayaan.

“Terdapat juga beberapa pihak yang mengambil inisiatif menurunkan harga barangan bagi membantu pengguna menjelang perayaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Kerajaan Negeri turut menjalin kerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memantau kemungkinan kesan ketidaktentuan global susulan konflik di Timur Tengah terhadap harga serta bekalan makanan.

“Walaupun negara terlibat (Iran, Israel, Amerika Syarikat) menumpukan aktiviti pengeluaran minyak, kesan masih ada terhadap proses pengeluaran makanan akan terganggu disebabkan konflik yang melanda.

“Kita sedang meneliti dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup terhadap situasi ini. Kerajaan Negeri juga memiliki operasi gudang makanan yang menghimpunkan stok makanan terutama beras, daging, ayam dan ikan sebagai persediaan,” katanya.

Beliau turut mengarahkan agensi berkaitan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) meningkatkan stok simpanan bekalan makanan sebagai langkah persediaan menghadapi sebarang kemungkinan susulan konflik di Timur Tengah.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.