SHAH ALAM, 12 MEI: Sektor pertanian dan perkhidmatan jualan membantu Koperasi Hijrah (KoHijrah) Selangor menyumbang sekitar RM2 juta daripada keseluruhan kutipan hasil RM7 juta yang direkodkan tahun lalu.
Pengurus Besarnya Dato' Dr. Mohammad Syukri Ismail berkata peningkatan itu didorong pengembangan jualan produk tempatan dan hasil tani anggota menerusi pelbagai program pemasaran serta jualan bergerak ke seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Sektor pertanian dan jualan menjadi antara penyumbang utama kepada peningkatan penjanaan pendapatan koperasi susulan permintaan memberangsangkan terhadap produk tempatan yang dipasarkan menerusi Gerakan Koperasi Selangor.
“Kejayaan itu turut diperkukuh melalui penubuhan Pusat Lelongan Agro Selangor (PLAS) di Kampung Sijangkang yang berperanan sebagai pusat pengumpulan dan pemasaran hasil pertanian anggota koperasi," katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata antara produk yang mencatat permintaan tinggi ialah sayur-sayuran tempatan, buah-buahan, hasil perikanan serta produk hiliran seperti ayam, telur dan daging.
Katanya, sektor sayur-sayuran tempatan muncul penyumbang terbesar kepada hasil koperasi apabila jumlah produk meningkat daripada hanya 30 unit simpanan stok (SKU) kepada 156 SKU ketika ini.
"Kedua ialah hasil perikanan membabitkan ikan tempatan, ikan import dan ikan air tawar, manakala ketiga ialah produk hiliran seperti ayam, telur dan daging," ujarnya.
Beliau berkata, hasil perikanan darat seperti ikan tilapia, keli dan patin turut membantu meningkatkan hasil koperasi apabila produk berkenaan dipasarkan lebih meluas melalui rangkaian jualan sedia ada.
Menurutnya, pelaksanaan program jualan bersama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan termasuk Jualan Koperasi serta program di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut memperkukuh pemasaran produk tempatan.
Tambah Dr Mohammad Syukri, KoHijrah kini merangka strategi memperluaskan lagi program jualan menerusi Gerakan Koperasi Selangor dengan sasaran melaksanakan 86 program jualan di semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula Jun hingga Disember tahun ini.
"Jualan ini akan dijalankan melalui tiga kaedah iaitu premis koperasi, trak bergerak dan pasar komuniti bagi memastikan produk tempatan dapat dipasarkan lebih meluas kepada rakyat.
"Setakat ini KoHijrah berjaya menawarkan sebanyak 110 SKU menerusi program jualan yang dilaksanakan di premis koperasi, pasar komuniti serta melalui kaedah trak bergerak di pelbagai lokasi," katanya.
Beliau berkata, Gerakan Koperasi Selangor bukan sahaja membantu rakyat mendapatkan bekalan pada harga berpatutan, malah membuka lebih banyak peluang pasaran kepada anggota koperasi yang aktif menghasilkan produk tempatan.
"Daripada 11,000 anggota, kira-kira 7,000 aktif dalam program ini. Pendapatan anggota bukan sahaja meningkat antara enam hingga lapan peratus, malah bagi sektor pengeluaran ada yang merekodkan peningkatan sehingga 10 peratus," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata KoHijrah menyasarkan penyertaan sehingga 500 pekebun dan anggota koperasi tahun ini bagi memperluaskan lagi pengeluaran produk tempatan.
"Kita mahu memastikan bekalan produk hiliran, makanan segar dan hasil pertanian terus mencukupi melalui platform serta rantaian koperasi yang dibangunkan sekali gus menjadi pilihan rakyat Selangor," katanya yang optimis KoHijrah mampu mencapai sasaran kutipan hasil RM10 juta tahun ini.










