Peruntukan tambahan RM20 juta untuk SMJKC - Anwar

14 Feb 2026, 11:35 AM
Peruntukan tambahan RM20 juta untuk SMJKC - Anwar
Peruntukan tambahan RM20 juta untuk SMJKC - Anwar

IPOH, 14 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan tambahan RM20 juta kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) seluruh negara bagi menambah baik kemudahan dan keperluan asas sekolah.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata pemberian peruntukan itu sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh sektor pendidikan, serta memastikan kemudahan sekolah terus dipertingkatkan, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.

“Saya umumkan peruntukan tambahan RM20 juta kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina untuk menambah baik kemudahan asas dan keperluan sekolah,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Sumbangan Kasih MADANI Parlimen Tambun sempena Tahun Baharu Cina dan Sambutan Ramadan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Cina Yuk Choy, di sini hari ini.

Antara yang hadir ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming serta Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri menegaskan bahawa sistem pendidikan perlu melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi berdisiplin, berakhlak mulia, serta saling menghormati tanpa mengira kaum dan agama.

“Kita satu negara dengan pelbagai kaum dan agama. Pendidikan mesti mendidik supaya kita saling mengenali dan menghormati antara satu sama lain,” kata beliau.

Pada majlis sama, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun turut menyampaikan sumbangan kepada wakil pelajar di kawasan parlimen berkenaan.

Kira-kira 3,000 pelajar sekitar Parlimen Tambun hadir memeriahkan majlis, yang diisi dengan pelbagai persembahan dan penyampaian sumbangan.