Ihya Ramadan DUN Hulu Kelang himpun 250 wanita erat ukhuwah

13 Feb 2026, 7:30 AM
Ihya Ramadan DUN Hulu Kelang himpun 250 wanita erat ukhuwah

GOMBAK, 13 FEB: Menjelang ketibaan Ramadan, suasana penuh kesyukuran dan kebersamaan mewarnai program Ihya Ramadan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang yang menghimpunkan hampir 250 wanita di IS Grand Hall, AEON AU2 di sini, hari ini.

Penyelaras DUN Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli berkata program julung kali diadakan dengan kerjasama Pertubuhan Ikram Ampang Jaya itu bertujuan menyantuni serta merapatkan ukhuwah dalam kalangan wanita setempat.

“Program ini diadakan bersempena kedatangan Ramadan tidak lama lagi. Justeru, kita laksanakan majlis doa selamat dan bacaan Yasin, diikuti pengisian ilmu seperti tazkirah serta sesi ramah mesra.

“Alhamdulillah, sambutan amat memberangsangkan. Rata-rata yang hadir ialah wakil biro muslimat masjid dan surau sekitar Hulu Klang, persatuan penduduk serta badan bukan kerajaan, dengan jumlah keseluruhan hampir 250 orang,” katanya kepada Media Selangor.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli. Foto SHEEDA FATHIL/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata pihaknya merancang untuk menganjurkan lebih banyak program seumpama itu pada masa akan datang dalam skala lebih besar bagi memperkukuh jaringan komuniti.

Dalam pada itu, Juwairiya memaklumkan pihaknya bercadang melaksanakan program khusus menyantuni ibu tunggal sempena Ramadan dan Aidilfitri.

“Insya-Allah, kita akan turun padang menyantuni ibu tunggal serta menganjurkan program gotong-royong memasak juadah berbuka puasa.

“Selain itu, penyediaan bubur lambuk dan pengedaran kurma kepada orang awam di pasar atau bazar Ramadan juga akan diteruskan seperti tahun-tahun sebelum ini,” katanya.