SHAH ALAM, 13 FEB: Polis menahan seorang lelaki yang juga anak kepada suspek utama kes pembunuhan kejam seorang wanita yang mayatnya ditemukan dalam keadaan dikerat tujuh bahagian dan dibuang di beberapa lokasi sekitar Taman Indah Permai, Kota Kinabalu malam tadi.
Suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan kira-kira jam 11 malam di sebuah rumah di Sepanggar menerusi satu operasi khas.
Operasi berkenaan membabitkan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bersama Bukit Aman, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Bantuan Teknikal D8 JSJ IPK serta Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Luyang.
Penahanan itu dibuat susulan tangkapan bapanya yang berusia lingkungan 70-an pada jam 5 petang semalam, iaitu kurang 24 jam selepas penemuan mayat mangsa.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman mengesahkan kedua-dua tangkapan berkenaan.
"Suspek kedua ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Sebelum ini, suspek utama lelaki tempatan berusia 70-an berjaya dikesan dan ditahan. Setakat ini motif kejadian dipercayai cemburu," katanya seperti dilapor BH.
Beliau berkata, dengan tertangkapnya kedua-dua suspek, kes berkenaan dianggap selesai namun siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan.
Terdahulu, mayat wanita berusia lingkungan 40-an ditemui dalam keadaan anggota badan dikerat dan dibuang secara berasingan di beberapa lokasi pembuangan sampah sekitar Taman Indah Permai dekat Kota Kinabalu.
Penemuan awal membabitkan tangan dan kaki mangsa pada jam 6.30 pagi sebelum operasi pencarian lanjut menemukan kepala serta badan mangsa pada jam 11.40 pagi di lokasi berhampiran.


