Masjid Nurul Amin lengkap kemudahan asas, mampu tampung 1,500 Jemaah

12 Feb 2026, 11:43 AM
Masjid Nurul Amin lengkap kemudahan asas, mampu tampung 1,500 Jemaah
Masjid Nurul Amin lengkap kemudahan asas, mampu tampung 1,500 Jemaah
Masjid Nurul Amin lengkap kemudahan asas, mampu tampung 1,500 Jemaah
Masjid Nurul Amin lengkap kemudahan asas, mampu tampung 1,500 Jemaah

PETALING, 12 FEB: Hasrat penduduk Merbau Sempak, Sungai Buloh untuk memiliki masjid baharu bagi menggantikan masjid lama yang uzur kini menjadi kenyataan dengan siapnya Masjid Nurul Amin.

Masjid yang dibina dengan kos RM11.5 juta di atas tanah seluas kira-kira 1.8 ekar itu kini menjadi mercu tanda baharu di Merbau Sempak dan mampu menampung sehingga 1,500 jemaah.

Majlis penyerahan masjid disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad, dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Selangor Ir Shukri Ishak.

Dalam ucapannya, Amirudin berharap pembinaan masjid baharu ini dapat memberi keselesaan kepada penduduk serta menjadi pusat transformasi penggerak masyarakat setempat.

Dato' Menteri Besar Dato Seri Amirudin Shari berucap dalam Majlis Penyerahan Projek Membina Semula Masjid Nurul Amin Merbau Sempak, Gombak pada 12 Februari 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Masjid baharu ini dibina dengan kos RM11.5 juta, di mana RM4.45 juta diperuntukkan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan , manakala selebihnya sumbangan Kerajaan Negeri dan penduduk setempat.

“Menerusi pembinaan masjid ini, penjimatan kos dikurangkan sehingga RM900,000. Biarpun ada penjimatan, JKR dan kontraktor dilantik berusaha sedaya upaya memaksimumkan kapasiti pembinaan masjid.

“Kerajaan Negeri berharap dengan kewujudan masjid ini, ia dapat memberi manfaat melalui penganjuran pelbagai program selain solat berjemaah dan kuliah, selaras titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang mahu masjid menjadi pusat perpaduan dan bukannya punca perpecahan,” katanya.

Masjid Nurul Amin mula dibina pada Mei 2023 dan berjaya disiapkan sepenuhnya mengikut jadual pada 15 Januari lalu. Masjid ini dilengkapi kemudahan asas lengkap termasuk ruang solat limpah, bilik imam, bilik mesyuarat, kemudahan pengurusan jenazah, serta tempat parkir untuk motosikal dan kereta.

Sementara itu, nazir masjid, Mohd Rasli Muda, berkata pihaknya bersyukur dengan kewujudan masjid baharu yang menggantikan masjid lama yang berusia lebih 40 tahun dan uzur.

Nazir Masjid Nurul Amin Merbau Sempak, Mohd Rasli Muda. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Masjid lama banyak perlu dibaiki demi keselesaan dan keselamatan jemaah. Malah, ia tidak dapat menampung jumlah jemaah yang semakin meningkat, terutama ketika solat Jumaat.

“Dengan adanya masjid baharu, jumlah jemaah terus meningkat dan kita dapat melaksanakan pelbagai aktiviti selain solat, seperti kuliah, tadarus termasuk tarawih pada minggu depan,” katanya.

Dalam pada itu, Ir Shukri Ishak berkata masjid yang dilaksana secara tender terbuka berkonsepkan seni bina moden Islamik dan minimalis tropika itu berjaya disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor Ir Shukri Ishak. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Reka bentuk masjid ini mempunyai pengudaraan semula jadi, ruang komunit terbuka dan integrasi pandskap harmoni.

“Matlamat utama pembinaan masjid baharu ini adalah menggantikan masjid lama yang telah uzur dan tidak lagi mampu menampung kapasiti penduduk semakin meningkat,” ucapnya pada majlis penyerahan masjid.

Pada masa sama, beliau memaklumkan sebuah lagi masjid di daerah Gombak sedang dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Mei depan.

“SMasjid al-Amaniah juga telah memulakan kerja naik taraf dengan pembinaan ruang limpah dijangka siap November 2027. 

“Untuk masa terdekat ini, kerja naik taraf perpustakaan desa di Taman Greenwood, Batu Caves telah siap dan akan diserahkan pada April ini. Kita berharap dengan projek pembinaan dan naik taraf beri manfaat pada masyarakat,” katanya.