APC suntik semangat penjawat awam terus beri khidmat cemerlang

12 Feb 2026, 1:32 AM
APC suntik semangat penjawat awam terus beri khidmat cemerlang
APC suntik semangat penjawat awam terus beri khidmat cemerlang
APC suntik semangat penjawat awam terus beri khidmat cemerlang
APC suntik semangat penjawat awam terus beri khidmat cemerlang

SHAH ALAM, 12 FEB: Datuk Bandar Shah Alam menyifatkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang diterima sebagai pemangkin untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata pengiktirafan itu bukan hanya untuk dirinya, sebaliknya sebagai dorongan kepada seluruh warga Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) supaya mengekalkan prestasi cemerlang.

Menurutnya antara fokus utama adalah mahu menjadikan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sebagai pihak berkuasa tempatan yang dihormati penduduk berikutan mampu selesaikan pelbagai isu.

Datuk Bandar Shah Alam Dato' Mohd Fauzi Mohd Yatim menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 pada 11 Februari 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Pengiktirafan diterima adalah hadiah istimewa dan ia sebenarnya untuk kakitangan MBSA sendiri untuk terus mengekalkan perkhidmatan cemerlang.

“Sudah pasti sebagai penjawat awam, kita berdepan dengan tuntutan semasa yang mencabar kerana Shah Alam kini memasuki era berbeza. Kita perlu adaptasi perubahan dengan mengubah cara kerja supaya bergerak lebih pantas,” katanya kepada Media Selangor.

Terdahulu, Mohd Fauzi menerima anugerah kecemerlangan yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Anugerah Jasamu Dikenang (AJD).

Dalam majlis tersebut, seramai 124 penjawat awam Selangor menerima APC manakala 34 pesara dan bakal pesara dikurniakan AJD.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor, Mohamad Nizam Marjugi berkata penganugerahan yang diterima itu adalah satu tanggungjawab yang perlu digalas supaya bekerja lebih kuat.

“Sebenarnya sejak dahulu, kita memang menyokong dasar Kerajaan Negeri bagi memastikan sukan di Selangor terus maju jaya sekaligus mencapai kejayaan.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohamad Nizam Marjugi menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 pada 11 Februari 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Sempena penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) kita akan berusaha memastikan atlet mewakili negeri memberi yang terbaik selain sekretariat berusaha memastikan venue berada dalam keadaan sempurna,” katanya.

Sebelum itu, Amirudin dalam ucapannya mahu penjawat awam terus meningkatkan daya saing dan melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab bagi memastikan agenda pembangunan negeri berjalan lancar.

Katanya, penjawat awam perlu terus bergerak ke hadapan pada tahun ini dengan bekerja lebih keras dalam memastikan pencapaian negeri kekal cemerlang.