MBSA teruskan program MySave Food di lima bazar Ramadan Shah Alam

11 Feb 2026, 10:12 AM
MBSA teruskan program MySave Food di lima bazar Ramadan Shah Alam

SHAH ALAM, 11 FEB: Program penyelamatan makanan di bazar Ramadan anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan diteruskan tahun ini, kata Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Beliau berkata, program MySave Food yang berlangsung dari 23 Februari hingga 13 Mac itu membabitkan lima lokasi iaitu Bazar Ramadan Seksyen 13, Seksyen 17, Seksyen 19, Seksyen 28 dan Seksyen U16.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam, Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berucap pada majlis Penyerahan kit dan Permit Bazar Ramadan MBSA 2026 di Pusat Konvensyen MBSA pada 11 Februari 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Melalui program ini, peniaga perlu menghantar lebihan makanan dan minuman yang tidak terjual tetapi masih dalam keadaan baik serta selamat dimakan kepada kakitangan MBSA dan sukarelawan di khemah disediakan.

“Makanan akan direkodkan, ditimbang dan dilabel sebelum diagihkan ke surau, masjid, pangsapuri kos rendah serta asrama pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta untuk dinikmati selepas solat Tarawih,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan permit bazar Ramadan kepada 2,123 peniaga di Pusat Konvensyen MBSA Seksyen 13, hari ini. Turut hadir Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Seramai 616 sukarelawan daripada pelbagai agensi dijangka terlibat tahun ini dan MBSA turut mengalu-alukan penyertaan pertubuhan bukan kerajaan yang berminat.

Untuk rekod, MBSA memulakan program MySave Food@Ramadan Bazar sejak 2020 bagi mengumpul lebihan makanan bazar Ramadan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam, Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim melakukan simbolik Pelancaran Usaha Sama Rakan Strategik: MBI, Agrobank dan PBT bagi program bazar Ramadan 2026 ketika Majlis Penyerahan Permit Bazar Ramadan MBSA 2026 di Pusat Konvensyen MBSA pada 11 Februari 2026.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR