Atlet Para SUKMA perlu sokongan, latihan setara demi prestasi cemerlang

11 Feb 2026, 12:23 AM
Atlet Para SUKMA perlu sokongan, latihan setara demi prestasi cemerlang
Atlet Para SUKMA perlu sokongan, latihan setara demi prestasi cemerlang
Atlet Para SUKMA perlu sokongan, latihan setara demi prestasi cemerlang
Atlet Para SUKMA perlu sokongan, latihan setara demi prestasi cemerlang
Atlet Para SUKMA perlu sokongan, latihan setara demi prestasi cemerlang

SHAH ALAM, 11 FEB: Atlet Para Sukan Malaysia (SUKMA) perlu diberikan sokongan dan latihan sewajarnya bagi membolehkan mereka terus menyumbang kejayaan kepada kontinjen negeri.

Ketua Kontinjen Para SUKMA Selangor Lim Yi Wei berkata layanan sama rata seperti atlet lain, khususnya dari segi latihan, mampu membantu atlet Para meningkatkan prestasi ke tahap lebih cemerlang.

“Apabila ada pengumuman untuk beri layanan sama rata kepada atlet Para, ia merupakan satu kegembiraan kerana masyarakat sering melihat golongan ini perlu dikasihani,” katanya.

“Sebenarnya golongan ini sekiranya diberi ruang sewajarnya dan terus berdaya saing, mereka juga mampu mencapai kegemilangan seperti atlet lain.

“Oleh itu, selepas ini saya akan adakan pertemuan dengan persatuan sukan dan atlet sendiri bagi mendapatkan maklum balas serta keperluan mereka untuk SUKMA nanti,” katanya pada majlis pelancaran program Selangor Road to Champion Para SUKMA 2026 semalam.

Ketua Kontinjen Para SUKMA Selangor Lim Yi Wei ditemui ketika majlis pelancaran Selangor Road To Champion Para SUKMA ke-22 di Dewan Raja Muda Musa Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam pada 10 Februari 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku menggalakkan syarikat swasta terus menyokong atlet Para dengan memberi sokongan termasuk sumbangan kewangan.

Dalam pada itu, Penolong Pegawai Penerangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Mohd Noh Mohd Yusoff berkata pihaknya akan berbincang dengan pengurusan untuk mengadakan pertemuan bersama atlet Para ping pong.

“Ini merupakan kali pertama LUAS dilantik sebagai bapa angkat untuk temasya besar seperti ini dan sudah pasti kita akan beri kerjasama sepenuhnya terutama logistik.

“Dari semasa ke semasa kita cuba bantu dan akan bertemu dengan atlet ping pong dalam masa terdekat supaya mereka dapat menyumbang emas kepada Selangor,” katanya.

SUKMA kali ke-22 berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 dengan upacara perasmian di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) manakala Para SUKMA pula dari 5 hingga 10 September 2026.

Sebanyak 10 jenis sukan dipertanding pada temasya Para SUKMA iaitu renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang, memanah, catur, boccia dan powerlifting.