18,000 individu mohon jadi sukarelawan SUKMA 2026 dalam tempoh 72 jam

11 Feb 2026, 12:00 AM
18,000 individu mohon jadi sukarelawan SUKMA 2026 dalam tempoh 72 jam
18,000 individu mohon jadi sukarelawan SUKMA 2026 dalam tempoh 72 jam
18,000 individu mohon jadi sukarelawan SUKMA 2026 dalam tempoh 72 jam
18,000 individu mohon jadi sukarelawan SUKMA 2026 dalam tempoh 72 jam

SHAH ALAM, 11 FEB: Sambutan luar biasa diterima apabila 18,000 permohonan untuk menjadi sukarelawan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 diterima dalam tempoh kurang 72 jam sejak pendaftaran dibuka Ahad lalu.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata jumlah itu melepasi sasaran awal yang ditetapkan iaitu 5,000 sukarelawan, sekali gus mencerminkan sokongan padu rakyat terhadap penganjuran temasya berprestij tersebut.

Menurut beliau, semua permohonan akan melalui proses saringan sebelum calon terpilih mengikuti program latihan di bawah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor.

“Sejak pendaftaran dibuka Ahad lalu sehingga tengah hari tadi (semalam), kita terima 18,000 permohonan, jumlah yang diterima ini melebihi sasaran ditetapkan iaitu 5,000 sukarelawan.

“Kita akan cuba selaraskan jumlah sukarelawan ini dengan melihat kesesuaian dan keperluan di setiap lokaliti dan sukan yang dilaksana supaya seimbang satu sama lain.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi bercakap kepada media selepas pelancaran Selangor Road To Champion Para Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 di Dewan Raja Muda Musa Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam pada 10 Februari 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Kemungkinan kita akan pertimbang sekiranya ada penambahan jumlah sukarelawan mengikut keperluan kerana mereka ini akan terlibat sehingga temasya Para SUKMA,” katanya pada majlis pelancaran program Selangor Road to Champion Para SUKMA 2026 di sini semalam.

Turut berlangsung penyerahan watikah pelantikan kontinjen dan bapa angkat pasukan Para SUKMA Selangor. Terdahulu, wakil rakyat Kampung Tunku Lim Yi Wei dilantik sebagai ketua kontinjen Para SUKMA.

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Dr Ani Ahmad dilantik sebagai timbalan ketua kontinjen.

Ahad lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan Majlis Pelancaran Sukarelawan SUKMA dan Para SUKMA 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Menyasarkan 5,000 individu, sukarelawan bertindak menjadi nadi penggerak utama dalam memastikan kelancaran penganjuran SUKMA 2026.

Setiap sukarelawan berdaftar akan disaring oleh pihak sekretariat dan mereka yang terpilih akan mengikuti program latihan di bawah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi melakukan gimik pelancaran Selangor Road To Champion Para Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 di Dewan Raja Muda Musa Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam pada 10 Februari 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

SUKMA kali ke-22 berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 dengan upacara perasmian di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) manakala Para SUKMA pula dari 5 hingga 10 September 2026.

474 acara daripada 37 jenis sukan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue pertandingan, manakala Para SUKMA membabitkan 10 jenis sukan dan 316 acara yang dipertandingkan di daerah Petaling dan Klang.