SHAH ALAM, 12 FEB: Dato’ Menteri Besar menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor yang mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) meneliti setiap permohonan pembinaan rumah ibadat secara adil, telus dan tersusun.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selari dengan pendirian serta pendekatan proaktif Kerajaan Negeri yang dilaksanakan melalui mekanisme kawalan dan pemantauan di bawah Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS).
“Keprihatinan DYMM Tuanku ini akan diselaraskan dengan tindakan susulan oleh EXCO Kerajaan Negeri yang berkaitan. Menjunjung kasih, Tuanku,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Sulit Sultan Selangor Dato’ Mohamad Munir Bani memaklumkan Sultan Selangor menegaskan agar semua peruntukan undang-undang sedia ada dipatuhi sepenuhnya dan tidak diketepikan dalam menguruskan isu pembinaan rumah ibadat di negeri ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin berkata Selangor akan terus mengurus isu rumah ibadat tidak sah menerusi sistem tersusun yang diamalkan sejak 15 tahun lalu, dengan menggabungkan penguatkuasaan undang-undang serta kaedah perantaraan bagi menyelesaikan pertikaian.
Beliau menegaskan Kerajaan Negeri mengekalkan mekanisme rasmi melalui jawatankuasa peringkat negeri bagi mengawal selia rumah ibadat tidak sah, sekali gus memastikan keharmonian antara penganut agama terus terpelihara.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menegaskan kerajaan memberi kuasa kepada PBT di seluruh negara untuk bertindak terhadap rumah ibadat, termasuk kuil yang dibina di tapak tidak sah.
Walaupun mengakui keputusan itu berpotensi mencetuskan kontroversi, Anwar menegaskan Malaysia adalah negara berteraskan undang-undang yang perlu dihormati semua pihak.
Mohamad Munir berkata pendirian Kerajaan Persekutuan itu adalah selari dengan dasar Selangor yang menekankan kepentingan pematuhan undang-undang demi menjamin keharmonian dan ketenteraman masyarakat.


