Sultan titah PBT teliti, kawal binaan rumah ibadat tanpa kebenaran

10 Feb 2026, 8:38 AM
Sultan titah PBT teliti, kawal binaan rumah ibadat tanpa kebenaran

SHAH ALAM, 10 FEB: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri itu meneliti setiap permohonan membina rumah ibadat dengan adil, telus dan tersusun.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Dato' Mohamad Munir Bani berkata pihak istana tidak mahu sebarang peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa diketepikan dalam menguruskan isu berkenaan.

"Aspek pemantauan juga perlu sentiasa dilakukan pihak berkuasa agar pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran di tanah-tanah kerajaan dan tanah persendirian dapat dibanteras dan dikawal," katanya.

Menurutnya, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj disembah maklum oleh Kerajaan Negeri berhubung maklumat keberadaan kuil Hindu yang dibina tanpa kebenaran di Selangor setakat 31 Januari lalu.

Jelasnya, sebanyak 687 kuil tanpa kebenaran dibina di Selangor membabitkan 388 di tanah milik kerajaan dan baki 299 lagi atas tanah milik persendirian.

"Jumlah kuil tanpa kebenaran ini adalah tinggi jika dibandingkan dengan populasi masyarakat India beragama Hindu yang melibatkan kira-kira 11.3 peratus di Selangor.

"Jumlah ini pun tidak mengambil kira kuil di seluruh Selangor yang telah didirikan secara sah dan mendapat kebenaran pihak berkuasa negeri," kata Mohamad Munir.

Semalam, perdana menteri menegaskan kerajaan memberi kuasa kepada PBT di seluruh negara untuk bertindak ke atas rumah ibadat termasuk kuil yang dibina di tapak tidak sah.

Walaupun keputusan itu bakal mengundang kontroversi, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan Malaysia mempunyai undang-undang yang perlu dihormati oleh semua pihak.

Mohamad Munir berkata pendirian kerajaan persekutuan berhubung pembinaan rumah ibadat di negara ini selaras dasar Selangor, iaitu menekankan kepentingan pematuhan undang-undang.

"Perkara ini juga harus dipatuhi dalam setiap pembinaan dan pembangunan rumah ibadat khususnya kuil Hindu agar ia dilaksanakan dengan teratur dari aspek perundangan dan selaras perancangan bandar yang mampan dan terancang," katanya.

Dalam pada itu, katanya, Sultan Selangor selaku ketua agama negeri ini sentiasa mengambil berat sensitiviti masyarakat berbilang kaum selaras prinsip toleransi sebagai teras keharmonian.

Tambahnya, Baginda menekankan setiap rumah ibadat dibina berdasarkan permohonan dibuat dan mendapat kelulusan sah kerajaan dan PBT serta mengikut perundangan dan garis panduan ditetapkan.

"Sebarang pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan sah melibatkan pencerobohan tanah kerajaan dan persendirian akan menimbulkan pertelingkahan antara penganut pelbagai agama yang akhirnya menyebabkan ancaman dan risiko keselamatan kepada negeri dan negara," katanya.