PUTRAJAYA, 9 FEB: Pihak berkuasa tempatan (PBT) dibenarkan mengambil tindakan ke atas mana-mana rumah ibadat tanpa mengira agama yang dibina tanpa mengikut undang-undang.
“Saya dengan ini mahu mengumumkan ketetapan kita tidak lagi mengizinkan yang (pembinaan rumah ibadat) tidak mengikut peraturan, dan majlis bandaraya (PBT) diberi keizinan untuk bertindak supaya bersihkan kawasan yang bukan hak kuil supaya selesai masalah ini dengan baik," kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara di sini, hari ini.
“Saya tahu (ini akan) mengundang kontroversi, sebab itu beritahu, kalau yang melampau sampai ada kempen nak merobohkan kuil, itu salah juga, kerja kami kerja negara, ini negara hukum."
Tambahnya lagi, proses undang-undang perlu diutamakan kerana melaluinya sebarang isu boleh diselesaikan dengan baik dan perbincangan wajar.
“Masjid yang dibangunkan ikut peraturan, gereja dibangunkan ikut peraturan, begitu juga semua yang lain. Jadi harus dicari jalan penyelesaian, bukan pergaduhan.
“Kalau ada pelanggaran, barulah kita ambil tindakan. Kita jalan ikut undang-undang, bawa bincang dengan cara yang sah dan berperaturan,” katanya.
Beliau turut menegaskan yang kerajaan tidak akan membenarkan percambahan rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan termasuk di kawasan awam.
“Yang tidak boleh dibiarkan ialah percambahan di bawah pokok, di mana-mana sahaja. Ini mesti dibendung. Di negara lain pun, termasuk India dan China, pembinaan rumah ibadat hanya dibenarkan di tempat yang sah,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar memaklumkan yang wujud beberapa kes tertentu yang diberi pertimbangan berasingan atas pelbagai factor.
“Kalau ada kes yang sudah wujud 200 tahun dan minta pertimbangan, itu kita nilai sebagai kes lain. Tetapi jangan guna alasan sudah lama wujud untuk wajib diluluskan,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan yang kerajaan tidak berupaya mempertahankan semua rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan sah.
“Takkan kalau ada 1,000 kuil yang tidak ikut kebenaran dan kelulusan tanah, semua mahu dipertahankan? Tak boleh. Sebab itu penjelasan ini mesti jadi dasar kefahaman semua pihak."


