Selangor kekalkan sistem sedia ada urus rumah ibadat tidak sah

10 Feb 2026, 5:38 AM
Selangor kekalkan sistem sedia ada urus rumah ibadat tidak sah

KUALA SELANGOR, 10 FEB: Selangor akan terus mengurus isu rumah ibadat tidak sah menerusi sistem tersusun yang diamalkan sejak 15 tahun lalu, dengan pendekatan menggabungkan penguatkuasaan undang-undang dan kaedah perantaraan bagi menyelesaikan pertikaian, kata Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri mengekalkan mekanisme rasmi melalui jawatankuasa peringkat negeri bagi mengawal selia rumah ibadat tidak sah, di samping memastikan keharmonian antara penganut agama terus terpelihara.

“Di Selangor, sistem ini sebelum ini dikenali sebagai RIBI (rumah ibadat bukan Islam) dan kini dikenali sebagai LIMAS (Jawatankuasa Khas Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao).

“Sepanjang 15 tahun lalu, tindakan telah diambil sama ada untuk merobohkan atau mengesahkan rumah ibadat yang dibina tanpa perancangan. Usaha ini dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pecah tanah projek Solar PV Bestari berskala besar di Bestari Jaya, di sini, hari ini.

Amirudin berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, yang memaklumkan Kerajaan Persekutuan memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan terhadap rumah ibadat yang dibina secara tidak sah.

Beliau menegaskan, tindakan tegas akan diambil terhadap pembinaan rumah ibadat yang melanggar undang-undang sedia ada, termasuk yang didirikan di atas tanah milik persendirian.

Menteri Besar Selangor itu berkata, Kerajaan Negeri akan terus berperanan sebagai penyelaras dan orang tengah bagi memastikan setiap keputusan dibuat secara adil serta aman.

“Apa yang disebut oleh Perdana Menteri sudah tentu akan mempercepatkan proses, dengan PBT memainkan peranan lebih aktif dalam menangani isu ini. Paling penting, semua tindakan akan dilaksanakan mengikut undang-undang,” katanya.

Dalam kes rumah ibadat yang dibina secara tidak sah, PBT akan meneliti status pemilikan tanah, klasifikasi zon guna tanah serta kesannya terhadap kawasan perumahan berhampiran sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

Kebelakangan ini, beberapa kes pencerobohan rumah ibadat bukan Islam dilaporkan, termasuk di Selangor, antaranya melibatkan tiga buah kuil yang dibina secara tidak sah di atas tanah perkuburan Islam di PJS 4, Petaling Jaya.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah memberi tempoh sehingga 31 Mac kepada pihak terlibat untuk mengosongkan tapak yang telah diwartakan itu sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

Satu lagi kes melibatkan pembinaan rumah ibadat secara haram di atas tanah persendirian di Dengkil, Sepang, yang turut didapati menggunakan sambungan elektrik tanpa kebenaran daripada papan iklan berhampiran.