Sultan saran import keperluan, ternakan babi tidak sesuai di Selangor

10 Feb 2026, 5:20 AM
Sultan saran import keperluan, ternakan babi tidak sesuai di Selangor

SHAH ALAM, 10 FEB: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyarankan kerajaan memberi lesen pengimportan daging babi bagi menampung permintaan dan keperluan orang bukan Islam khusunya kaum Cina di negeri ini.

Menurut kenyataan dikeluarkan setiausaha sulit Baginda, kaedah itu bukan hanya menyelesaikan isu penternakan babi, malah tanah sedia ada boleh dimanfaatkan untuk pembangunan dan penempatan.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menegaskan Baginda tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor berikutan kebimbangan berlaku pencemaran.

"Sultan Selangor menegaskan isu penternakan babi dapat dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan semua pihak serta menjejaskan keamanan dan keharmonian kaum Cina.

"Oleh itu, semua pihak diseru untuk menghormati titah Baginda dan bersama-sama menjaga perpaduan dan keharmonian masyarakat negeri ini," kata Dato' Mohamad Munir Bani.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan projek ternakan babi berskala besar di Bukit Tagar dibatalkan kerana dibantah penduduk dan boleh menimbulkan kontroversi.

Dalam pada itu, Baginda menegaskan penternakan haiwan itu menyebabkan pencemaran udara dengan mengeluarkan bau busuk serta mencemarkan sumber air akibat pelepasan najis dan sisa kumbahan.

"Sebagai contoh, cadangan penternakan babi di Bukit Tagar daerah Hulu Selangor yang merupakan kawasan pendudukan Melayu dan Felda pastinya menerima bantahan.

"Ia boleh mengakibatkan pencemaran kepada kawasan tadahan air dan sungai yang membekalkan sumber air bersih kepada penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya," kata Mohamad Munir.

Meskipun pencemaran udara dan sungai boleh diatasi dengan penternakan moden, jelasnya, ia memerlukan perbelanjaan besar dan tidak mungkin mampu dibiayai mana-mana pihak yang menternak hanya untuk bekalan babi di Selangor.

Tambahan lagi, tegasnya, tiada jaminan penternakan moden tidak akan menyebabkan pencemaran di kawasan tadahan air serta sungai yang menjadi punca air bersih kepada penduduk Lembah Klang.

"Selain itu, penternakan babi berskala besar atau kecil juga tidak sesuai dilaksana di Selangor kerana sumber tanah terhad, ditambah faktor nilai hartanah tinggi yang sewajarnya digunakan untuk tujuan yang lebih ekonomi dan boleh dimanfaatkan masyarakat," jelasnya.

Bulan lalu, Selangor memutuskan untuk menangguhkan dan membatalkan sementara sebarang cadangan melibatkan pembangunan berkaitan ladang babi di Bukit Tagar untuk penelitian lebih menyeluruh.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata isu itu dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), termasuk arahan kepada EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim untuk mencari kawasan alternatif berikutan bantahan penduduk berhampiran kawasan terbabit.