200 peniaga PLATS terima sistem POS percuma, pacu pendigitalan usahawan Selangor

10 Feb 2026, 3:43 AM
200 peniaga PLATS terima sistem POS percuma, pacu pendigitalan usahawan Selangor
200 peniaga PLATS terima sistem POS percuma, pacu pendigitalan usahawan Selangor
200 peniaga PLATS terima sistem POS percuma, pacu pendigitalan usahawan Selangor

BANGI, 10 FEB: Kira-kira 200 peniaga berdaftar Platform Selangor (PLATS) menerima peranti perniagaan POS (Point of Sale) bernilai lebih RM2,000 secara percuma bagi membantu pendigitalan operasi perniagaan.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata, peranti BizApp POS itu menggantikan kaedah jual beli manual kepada sistem digital yang lebih mudah dan efisien.

Menurutnya, kos keseluruhan inisiatif berkenaan mencecah kira-kira RM500,000, melibatkan peniaga PLATS yang telah mengikuti kursus U-PLATS DIGITAL dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor berucap dalam program Serahan POS PLATS dan Training bagi 200 Peserta U-PLATS Siri Ketiga di Bangi Hotel Resort, Selangor pada 10 Februari 2026. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

“Sistem ini dilengkapi ‘dashboard’ yang membolehkan peniaga memantau jualan harian serta mengenal pasti produk paling laris, sekali gus membantu mengembangkan perniagaan,” katanya selepas majlis penyerahan sistem POS di Hotel Bangi Resort, di sini, hari ini.

Tambahnya, penggunaan sistem POS itu mula menunjukkan impak positif apabila peniaga kecil berjaya meningkatkan hasil jualan.

“Contohnya, seorang peniaga roti canai dan kari kambing di Beranang. Perniagaannya kecil, namun selepas menggunakan sistem ini, beliau dapat memantau jualan dengan lebih teratur sehingga hasil jualannya meningkat mencecah ratusan ribu ringgit,” katanya.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Bizapp, Mohd Jefrey Aman (kiri) menyerahkan POS PLATS kepada Peserta U-PLATS Siri Ketiga di Bangi Hotel Resort, Selangor pada 10 Februari 2026. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Pada Oktober 2024, MBI mengumumkan kerjasama dengan BizApp Ventures Sdn Bhd (BizApp) bagi memperkasa 50,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Selangor menerusi keusahawanan digital dalam tempoh lima tahun.

Salah satu inisiatif utama kerjasama itu ialah pemberian sistem BizApp POS secara percuma kepada usahawan PLATS.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif BizApp, Mohd Jefrey Aman berkata syarikat komited sebagai rakan teknologi MBI dalam menyokong agenda Selangor ke arah masyarakat tanpa tunai dalam tempoh lima tahun.

Untuk rekod, BizApp merupakan platform perdagangan sosial luar bandar terbesar di Malaysia dengan nilai transaksi kasar (GMV) sebanyak RM5.2 bilion sejak penubuhannya pada 2017.