SHAH ALAM, 9 FEB: Seramai 161 individu ditahan Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi pelbagai operasi penguatkuasaan bagi membanteras jenayah rentas sempadan sejak 1 Januari lalu hingga hari ini.
Komander PGA Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata sebanyak 39 serbuan dilaksanakan dalam kawasan tanggungjawab meliputi Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka serta Johor dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM8 juta.
Dalam operasi terbaharu semalam, PGA menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran selepas menahan 22 warga asing membabitkan 20 lelaki dan dua wanita dewasa warga Indonesia, termasuk empat individu dipercayai bertindak sebagai tekong laut.
Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif di kawasan sempadan Negeri Sembilan.
Menurutnya, operasi itu turut merampas dua kenderaan jenis Honda City dan Volkswagen Tiguan serta enam unit telefon bimbit yang dipercayai digunakan bagi aktiviti penyeludupan migran.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM239,000 dan kesemua individu yang ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hakemal berkata, kejayaan berkenaan membuktikan komitmen berterusan PGA dalam membanteras jenayah terancang yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan negara.
Beliau turut menggesa masyarakat tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa serta berperanan sebagai mata dan telinga pasukan keselamatan bagi memastikan sempadan negara kekal bebas daripada pencerobohan serta aktiviti haram.


